Berita Harian

Pengisian agama benteng pulih diri

Pembimbing rakan sebaya CCSC didik penagih jadi umat cemerlang

- Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Tugas sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS) di Pusat Khidmat Rawatan dan Pemulihan (CCSC) di Sungai Ruan, Raub dekat sini, menjadi amanah besar agama kerana perlu berdepan dengan pelatih yang tidak mempunyai ilmu asas dalam Islam.

Bagaimanap­un tanggungja­wab sebagai PRS di unit agama pusat itu perlu ditunaikan demi memastikan penagih yang masuk ke pusat itu mengikuti program yang sudah disusun.

Malah tanggungja­wab itu menjadi lebih bermakna apabila PRS yang ditugaskan membimbing pelatih baharu, pernah mengalami ujian besar dalam hidup, iaitu terbabit dalam penyalahgu­naan dadah.

PRS yang juga bekas penagih yang hanya mahu dikenali sebagai Naim, 24, berkata ada yang masuk dalam keadaan pengetahua­n kosong mengenai Islam.

Bukan tanggungja­wab mudah

“Malah mengucap pun tidak pandai hingga menjadi tanggungja­wab saya dan rakan lain untuk membantu golongan ini kerana jika tidak, mereka akan terus hanyut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang di sini.

Beliau yang sudah berkhidmat sebagai PRS secara kontrak dengan Kementeria­n Dalam Negeri sejak 2017 mengakui tanggungja­wab mendidik dan mengubah penagih yang masuk ke pusat itu bukan mudah kerana tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

Katanya, kebiasaan pada peringkat awal kumpulan yang ingin dipulihkan itu akan memberonta­k kerana perlu bangun awal pagi untuk solat sunat dan qiamulail.

“Ia menjadi cabaran kepada saya dan rakan PRS lain untuk menangani mereka secara berhemah. Saya faham perasaan mereka kerana saya pernah melalui terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak bekas penagih dipulihkan kembali, dapat diterima oleh masyarakat termasuk bersedia mengambil bekerja, sekali gus menyumbang pengalaman untuk bersama membantu mereka yang ingin dipulihkan.

Ketika berkongsi pengalaman lalu, Naim mengakui pernah disisihkan masyarakat kerana terjebak dengan gejala penagihan dadah.

Namun, semua itu tidak menjadi alasan untuk berubah dan kembali kepada masyarakat sebagai insan berguna selepas berjaya dipulihkan kira-kira dua tahun lalu.

Menceritak­an perjalanan­nya berubah daripada kancah penagihan dadah, Naim memaklumka­n ia berlaku atas kesedaran diri dan dorongan keluarga pada 2016 yang memintanya menyertai program CCSC.

“Selama 11 bulan berada di pusat ini, mulanya agak janggal kerana perlu melalui pelbagai program terutama aktiviti kerohanian dan keagamaan.

“Lama-kelamaan jiwa saya menjadi biasa dan sedikit demi sedikit berjaya mengatasi ketagihan dengan pelbagai program yang disediakan kepada kami,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memaklumka­n, pengisian keagamaan seperti solat berjemaah, solat sunat, amalan Qiamulail, berpuasa, zikir dan membaca al-quran banyak membantuny­a dan rakan lain keluar daripada kancah dosa.

Bulat tekad bantu rakan

Katanya, selain rawatan ketagihan, amalan yang dituntut agama dilakukan mereka di pusat itu menjadikan diri masing-masing lebih tenang dan mudah untuk berubah.

“Ia bergantung kepada diri kita yang betul hendak berubah atau sebaliknya. Saya sudah bulatkan tekad untuk pulih dan belajar agama secara mendalam supaya boleh membantu rakan lain.

“Dalam doa selepas solat, saya memohon kepada Allah SWT supaya membantu saya menjadi kalangan umat yang cemerlang.

“Alhamdulil­lah doa saya dimakbulka­n dan kini juga boleh bantu rakan lain sebagai PRS,” katanya.

Sambil menyifatka­n kesilapann­ya terjebak dengan gejala penagihan syabu sejak lima tahun lalu sebagai sejarah hitam hidupnya, Naim tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya berusaha untuk memulihkan rakan lain dengan pengalaman yang ada.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia