Berita Harian

Akram tinggalkan Kedah

Pilih untuk perkuat PKNS hadapi musim baharu

-

Pemain kebangsaan, Akram Mahinan sah tidak bersama Kedah lagi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dia yang kini bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2018 bakal memperkuat­kan jentera tengah PKNS FC di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Akram menjadi pemain ketiga daripada Kedah menyertai skuad Semut Merah selepas pemain tengah Ariff Farhan Md Isa dan penjaga gol, Mohd Farhan Abu Bakar.

“Kami percaya kemahiran dan pengalaman dimiliki Akram mampu membawa PKNS FC ke tahap yang lebih tinggi,” kata PKNS dalam satu kenyataan.

“PKNS juga mengucapka­n selamat maju jaya buat Akram yang akan menjadi nadi penting skuad negara dalam aksi final Piala AFF, Selasa nanti menentang Vietnam.”

Kedah yang juga juara lima kali Piala Malaysia bakal tampil dengan skuad baharu musim depan selepas beberapa pemain mereka bertindak meninggalk­an pasukan itu dengan Akhyar Rashid juga dikhabarka­n bakal menyertai Johor Daruk Ta’zim (JDT).

Perubahan besar

Bagi PKNS pula, Rajagobal dilihat cuba melakukan perubahan besar dalam skuad Semut Merah selepas sudah membawa masuk lapan pemain baharu termasuk Akram.

Sebelum ini, PKNS mengumumka­n sudah menandatan­gani bekas pertahanan Melaka United, Nicholas Ryan Swirad, Tommy Mawat Bada (PJ Rangers), Shafiq Shaharudin (Kelantan) dan Mohamad Fandi Othman (FELCRA FC).

Kelmarin, juara Liga Perdana 2011 itu mengesahka­n bekas penyerang MIFA, Kpah Sean Sherman dari Liberia juga sudah sah menyertai Semut Merah.

“Kpah tidak asing di Liga Malaysia kerana dia mewakili MIFA pada 2018 dan membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Perdana. Dia menjaringk­an 14 gol daripada 19 penampilan.

“Dia juga menjadi pemain Liberia kedua yang mewakili PKNS selepas Patrick Ronaldinho Wleh,” kata PKNS dalam kenyataan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia