Berita Harian

‘Pusingan-u’ jika buat keputusan silap

Kerajaan PH sedia mengaku tidak sempurna: Dr Mahathir

- Oleh Ahmad Suhael Adnan

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan di bawah pentadbira­nnya sedia dan boleh membuat ‘pusingan-u’ apabila perlu, sekiranya membuat keputusan yang salah.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH), termasuk anggota Kabinetnya, bukanlah manusia sempurna dan wajar menarik balik keputusan salah demi memperbetu­lkan kesilapan itu.

“Kadangkala apabila kita menuju ke jalan yang salah, kita perlu berpatah balik, namun hanya apabila perlu (kerana) kita bukan manusia yang sempurna.

“Walaupun sebahagian daripada kita adalah ‘malaikat’ (merujuk kepada pihak yang enggan berpatah balik meskipun melakukan kesalahan kerana berpegang pendirian sentiasa betul). ‘Malaikat’ (pihak berkenaan) pun melakukan kesilapan dan apabila buat silap, mereka berpatah balik,” katanya selepas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas persepsi sesetengah pihak yang menyifatka­n pentadbira­n PH kini sebagai kerajaan ‘pusingan-u’ kerana kerap menarik balik keputusan atau dasar selepas pengumuman­nya menerima kritikan rakyat.

Terbaru, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kelmarin, menangguhk­an mekanisme baharu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selepas mengambil kira keperluan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.

Ambil kira protes

Mengulas mekanisme bayaran balik yang mewajibkan potongan gaji peminjam itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengubah mekanisme berkenaan selepas mengambil kira pelbagai protes diterima daripada peminjam dan orang ramai.

“Ramai orang ada pandangan. Sebelum kita umumkan (mekanisme baharu bayaran balik PTPTN), mereka tak beritahu (pandangan).

“Bila kita umum, ada banyak yang tak puas hati, tapi untuk kita nak tanya 33 juta orang susah sikitlah. Bila mereka beri reaksi negatif, kita ambil perhatian,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga sedang mengumpul data penjawat awam yang kehilangan punca pendapatan susulan penutupan agensi yang sebelum ini disalahgun­akan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita terpaksa menutup beberapa agensi kerana disalah gunakan kerajaan terdahulu untuk kepentinga­n parti politik, namun apabila dihentikan, ramai pegawai dan kakitangan yang gugur. Kita fikir, perlu dikaji semula sama ada mereka terbabit atau tidak (salah laku kerajaan terdahulu), serta boleh dikekalkan jawatan mereka.

“Walaupun ada antaranya menjadi mangsa tindakan itu, kita akan beri perhatian pada masalah mereka kerana kebanyakan tak terbabit dalam politik, sebaliknya hanya menjadi kakitangan kerajaan,” katanya yang sebelum ini pernah mengumumka­n tamat khidmat kira-kira 17,000 penjawat awam lantikan politik Kerajaan BN.

Mengulas pertikaian sempadan ruang udara dan maritim di antara Malaysia dan Singapura, Perdana Menteri berkata, isu itu akan diselesai berlandask­an undang-undang serta hak negara.

Katanya, paling penting kedua-dua negara mengadakan perbincang­an.

Menjawab dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang mendakwa tidak akan mendapat perbicaraa­n adil di Malaysia, Dr Mahathir berkata, Jho Low sebenarnya sudah menyedari dirinya bersalah.

“Dia tahu dirinya bersalah, maka mendakwa perbicaraa­n itu tidak adil. Hakim di Malaysia adil kerana institusi kehakiman tidak dicampuri kerajaan.

“Kita mesti hadir ke mahkamah dan berhenti menafikan pendakwaan atau mendapatka­n hakim yang lain untuk kita, terimalah kenyataan,” katanya sambil menegaskan kerajaan tidak akan melakukan sebarang perjanjian dengan Jho Low.

Mengulas tindakan wakil rakyat melompat parti pula, Dr Mahathir menyifatka­n ia sebagai hak manamana individu berbuat demikian kerana Malaysia adalah negara yang mengamalka­n demokrasi.

Dalam perkembang­an berasingan, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, Majlis Presiden PH semalam, bersetuju dua pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan dan Parlimen Cameron Highlands, Pahang, ditandingi calon parti yang sama bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14) dengan menggunaka­n logo PH.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD /BH] ??
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD /BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia