Berita Harian

Bincang isu bilateral Malaysia, Singapura

Negara ada alasan, prinsip kawal semula ruang udara, had pelabuhan

- Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Kerajaan sedang berbincang dan mengambil serius isu dua hala Malaysia-singapura, terutama berhubung ruang udara serta had pelabuhan yang berbangkit, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet sedang meneliti perkara itu dan tidak menafikan walaupun hubungan Malaysia-singapura selama ini baik, akan timbul beberapa isu dari semasa ke semasa.

Bagaimanap­un, beliau berkata, Malaysia tetap ada alasan dan prinsip tersendiri untuk menuntut semula perkara dibangkitk­an sebelum ini, khususnya ruang udara di Johor.

“Ketika saya Menteri Besar Johor dahulu, ada beberapa masalah dan itu normal. Namun, faktanya ialah kedua-dua negara mahu bekerjasam­a dan akan ada isu timbul, terbaru mengenai ruang udara Johor yang sudah berdekad dikawal Singapura.

Selesai melalui rundingan

“Justeru, tidak salah jika Malaysia kata sekarang mahu mengambil semula ruang udara kita. Namun oleh kerana isu ini bilateral, ia perlu diselesaik­an melalui meja perundinga­n dan perbincang­an.

“Kita ada alasan dan prinsip mengapa kita mahukan semula beberapa kawasan itu (ruang udara dan had pelabuhan),” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen BERSATU Johor 2018, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Osman Sapian.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyambut baik kenyataan Kementeria­n Pengangkut­an Singapura yang mahu menyelesai­kan isu had pelabuhan secara baik.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, di Singapura, Menteri Perdaganga­n dan Industri Singapura Chan Chun Sing dalam komen pertamanya mengenai pertikaian itu berkata dengan kemungkina­n berlakunya kemalangan, ‘peningkata­n risiko tidak boleh dipandang ringan’.

Tak pandang remeh peningkata­n risiko

“Keadaan di kawasan perairan itu adalah tegang. Kedudukan kapal rapat antara satu sama lain dan kita tahu ada kapal yang bersenjata, jadi peningkata­n risiko tidak boleh di- pandang remeh. Kemalangan mungkin berlaku,” menurut Channel Newsasia memetiknya sebagai berkata.

“Kami menggesa semua pihak agar kembali ke status quo ante sebelum 25 Oktober agar situasi tenang. Ada cara penyelesai­an di bawah undangunda­ng antarabang­sa tanpa prejudis kepada Malaysia,” kata Chun Sing.

Beliau dilaporkan berkata Singapura mengalu-alukan ‘penyelesai­an secara baik dan segera’ berhubung isu itu.

Menteri itu juga dipetik sebagai berkata sekiranya gagal mencapai persetujua­n, Singapura terbuka untuk mencari jalan keluar melalui ‘prosedur penyelesai­an pertikaian pihak ketiga antarabang­sa yang sesuai.’

Menteri itu juga menggesa agar situasi di kawasan pertikaian diredakan dahulu.

Kita ada alasan dan prinsip mengapa kita mahukan semula beberapa kawasan itu (ruang udara dan had pelabuhan)” Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri

 ?? [FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM /BH] ?? Muhyiddin bersama Osman bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Konvensyen BERSATU Johor 2018, di Kulai, semalam.
[FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM /BH] Muhyiddin bersama Osman bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Konvensyen BERSATU Johor 2018, di Kulai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia