Berita Harian

Tujuh direman kes ancaman bom

-

Ipoh: Tujuh pekerja restoran makanan segera direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan ancaman bom di restoran berkenaan di Taman Ipoh, di sini malam kelmarin.

Semua suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu ditahan selepas seorang pelanggan menemui objek hitam yang disangka ‘bom’ di atas pam tandas berserta tulisan ugutan di dinding tandas premis itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, terdapat kira-kira 20 pelanggan dan pekerja dalam restoran berkenaan.

Majistret, Siti Hafizah Jaafar membenarka­n semua suspek direman empat hari sehingga Selasa ini bagi membolehka­n siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berpakaian seragam

Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10 pagi dengan ada antara suspek masih berpakaian seragam restoran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata polis terpaksa mengosongk­an premis itu selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, Unit Pemusnah Bom dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaa­n sebelum menemui satu objek dibalut pita pelekat berwarna hitam dengan gulungan wayar di atas pam tandas.

Katanya, pemeriksaa­n kemudian mendapati objek itu hanya gulungan wayar tiga jenis warna bersama penutup botol dan bukan bom seperti maksud nota tulisan ‘tempat ini akan meletup’ yang ditulis di dinding tandas itu.

“Semua suspek dibawa ke mahkamah untuk direman dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA /BH] ?? Pekerja restoran kes makanan segera direman empat hari bagi membantu siasatan ancaman bom di Ipoh.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA /BH] Pekerja restoran kes makanan segera direman empat hari bagi membantu siasatan ancaman bom di Ipoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia