Berita Harian

Menghirup teh di lereng bukit

Ladang Gaharu Tea Valley terletak di Gopeng tawar pengunjung pengalaman menarik

- Oleh Halina Mohd Noor

halina_mdnoor@ mediaprima.com.my

Teh lazimnya dikaitkan dengan tanah tinggi Cameron Highlands, namun di Ipoh juga ada ladang teh. Terletak di kawasan kaki bukit jajaran Titiwangsa, sekitar Gopeng iaitu kira-kira 20 kilometer dari bandaraya itu, ladang teh gaharu menawarkan satu lagi pengalaman menikmati minuman itu di negara ini.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menjejakka­n kaki ke ladang teh Gaharu Tea Valley bersama rakan pasukan Haval 4, yang menyertai program pencarian harta karun anjuran Malaysia Airport bermula dari Sepang ke Ipoh.

Sesuai dengan kenderaan yang digunakan iaitu

Haval H1, kumpulan kami juga dinamakan Haval 4 (empat ahli pasukan).

Perjalanan menggunaka­n kenderaan utiliti sukan (SUV) cukup selesa apabila meredah sepanjang jalan kecil di dalam Kampung Sungai Itek yang dikeliling­i kehijauan pohon dan kaki bukit yang berbalam.

Simpang masuk ke kampung ini menempatka­n pelbagai papan tanda inap desa dan resort yang boleh didapati di sini.

Sesekali kami perlu menghentik­an kenderaan bagi memberi laluan kepada kenderaan lain apabila berselisih di simpang sempit.

Terokai ladang

Sebaik tiba di pintu masuk ladang teh ini, kami terpegun melihat pintu gerbangnya yang seakan Tembok Besar China, menanti kedatangan pengunjung.

Perjalanan terhenti di pusat pelawat yang menghidang­kan pemandanga­n memukau dengan berlatar belakangka­n bukitbukau ditanam deretan pokok yang semestinya adalah pokok gaharu.

Tidak sabar menerokai kawasan ladang, kami ke kaunter dan mendapati ramai pelancong sedang membeli tiket dan menunggu van untuk ke ladang.

Van kecil boleh memuatkan lebih 10 penumpang itu membawa kami menyusuri jalan yang mendaki kehijauan bukit dengan pemandanga­n menghijau lembah yang dipenuhi pokok gaharu berusia lebih 26 tahun.

Penulis terpandang beberapa papan tanda dilekatkan pada batang pokok yang tercatat tahun pokok berkenaan dilahirkan.

Kira-kira lima minit, kami tiba di sebuah pelantar yang pintu seakan-akan gua buatan daripada batu dan di dalamnya terdapat kafe berciri moden.

Memeluk pokok gaharu

Di sini pengunjung boleh menikmati teh gaharu yang dicampurka­n pelbagai herba lain seperti goji, bunga raya, lemon dan gula batu yang memberikan khasiat seperti menyegarka­n, meningkatk­an selera makan, menyahtoks­id dan menenangka­n.

Pencinta alam semula jadi boleh menikmati pemandanga­n lembah teh di pelantar dengan menggunaka­n teropong yang disediakan di situ.

Bagi yang ingin merehatkan minda, habiskan masa seberapa lama di situ untuk menghirup teh panas atau sejuk sebelum meneruskan perjalanan ke stesen berikutnya dengan menaiki van yang sentiasa datang dan pergi membawa penumpang.

Ada stesen ‘memeluk pokok gaharu’. Terletak di bahagian bawah lembah yang membolehka­n pengunjung memeluk pokok gaharu.

Setiap langkah memasuki kawasan ini diletakkan maklumat mengenai fungsi pokok dalam bentuk papan tanda yang diletakkan pada batang pokok seperti ‘saya boleh menyerap lebih 48 kilogram karbon dioksida setahun’ atau ‘jangan panik, saya organik’.

Langkah juga terhenti pada sesetengah pokok yang dilukis dengan bentuk haiwan pada batangnya seperti beruang, ular, kucing dan monyet.

Pesanan kesihatan seperti ‘10 minit berjalan boleh merangsang pengeluara­n kimia otak dan meningkatk­an kegembiraa­n’ turut diletakkan.

Stesen terakhir adalah ‘lovers park’ yang menempatka­n dua pokok besar yang melekat antara satu sama lain seakan sepasang kekasih sedang berpelukan.

Bagaimanap­un, penulis tidak sempat menerokai kawasan ini kerana kesuntukan masa dan turun semula untuk bangunan pusat pelawat.

Beberapa rakan sempat membeli aiskrim berperisa teh gaharu yang enak untuk menghilang­kan dahaga di kafe Hoga Holistik yang terletak di belakang pusat pelawat ini.

Mengunjung­i ladang ini memberikan pengalaman dan pengetahua­n mengenai pelbagai khasiat pokok gaharu ke atas kesihatan.

 ??  ?? Pintu gerbang seakan Tembok Besar China di ladang teh menggamit pengunjung.
Pintu gerbang seakan Tembok Besar China di ladang teh menggamit pengunjung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia