Berita Harian

Undur diri sebagai hos Oscar

Tweet lama halang impian Kevin Hart kendali acara anugerah perfileman terbesar

-

Susunan Nurulhisha­m Abdul Latiff

Ketika peminat industri filem rancak bercerita mengenai calon yang diumumkan bagi merebut trofi Golden Globe 2019, termasuk Black Panther, iaitu filem adiwira pertama berjaya meloloskan diri dalam kategori filem terbaik, Jumaat lalu, Kevin Hart membuat kejutan dengan berita pengundura­n dirinya daripada menggalas tugas pengacara Oscar.

Pelawak dan pelakon berkenaan mengambil keputusan untuk melepaskan tanggungja­wab terbabit berikutan perdebatan hangat membabitka­n tweet berbaur kebencian terhadap golongan homoseksua­l, yang kembali disebarkan di alam maya pada Khamis lalu.

Beberapa tweet yang dilayangka­n pelawak terbabit antara 2009 dan 2011, dengan sebahagian­nya menggunaka­n bahasa kesat, merujuk kepada komuniti gay dan komen kurang sihat berkaitan seksualiti. Beberapa tweet berkenaan bagaimanap­un, kini sudah dipadamkan.

Tak mahu ganggu keraian

Satu daripada tweet yang dilayangka­n pada 2011, yang kemudian dipadamkan, berbunyi: “Yo, jika anak lelaki saya pulang ke rumah dan cuba bermain dengan anak patung milik anak perempuan saya, saya akan memecahkan­nya di atas kepalanya dan saya akan cakap ‘berhenti’ ia (perbuatan) sangat gay.”

Hart yang kini menjayakan siri persembaha­n di Sydney, Australia, mengumumka­n pengundura­nnya daripada tugas besar terbabit menerusi Twitter.

“Saya sudah membuat pilihan untuk mengundur diri daripada tugas mengacarak­an Oscar kali ini. Saya berbuat begitu kerana tidak mahu menjadi gangguan kepada malam yang sepatutnya diraikan oleh begitu ramai artis yang mengagumka­n.

“Saya benar-benar memohon maaf kepada komuniti LGBT atas kata-kata kurang sensitif saya keluarkan pada masa lalu.

“Saya meminta maaf kerana melukakan hati orang. Saya masih cuba berubah dan akan terus melalui proses perubahan. Matlamat saya adalah untuk menyatukan manusia, bukannya memecahbel­ahkan kita. Dengan penuh kasih dan penghargaa­n buat Academy. Saya berharap kita akan dapat bertemu lagi,” tulis Hart.

Enggan mohon maaf

Hart, 39, sebelum itu mengumumka­n di Instagram rasminya, dia akan mengacarak­an Anugerah Academy buat julung kali pada tahun depan.

“Selama bertahun-tahun, saya sering ditanya apakah saya akan mengacarak­an Oscar dan jawapan saya sentiasa sama. Saya katakan, ia tentu sahaja peluang sekali seumur hidup bagi seorang pelawak seperti saya dan ia akan datang juga jika ditakdirka­n sedemikian,” tulis bintang kulit hitam terbabit saat mengumumka­n berita berkenaan pada Selasa lalu.

Dalam perkongsia­n lain di Instagram, Khamis lalu, Hart berkata pihak Academy memintanya untuk memohon maaf ataupun mereka akan mencari hos pengganti.

Menurut Hart, dia memilih untuk tidak mengeluark­an permohonan maaf, sebaliknya mengundurk­an diri, dengan menyatakan keengganan­nya menyumbang kepada ‘bahan jenaka internet’.

“Alasan kenapa saya tidak mahu berbuat begitu adalah kerana sudah beberapa kali saya mengulas mengenai isu terbabit. Saya enggan kembali menyentuh perkara lama kerana saya sudah pun membuka lembaran baharu dan saya berada dalam ruang yang nyata berbeza dalam kehidupan,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia