Berita Harian

Nasihat penyokong buat Cheng Hoe

-

Akhirnya misi untuk beraksi di pentas final Piala AFF edisi 2018 tercapai sudah. Harimau Malaya melangkah gagah ke pentas final dengan penuh bergaya selepas mengenepik­an juara lima kali yang juga sang juara bertahan, Thailand.

Kepuasan tidak dapat digambarka­n terutama di wajah penyokong-penyokong bergelar ‘Ekor Harimau Malaya’ yang sanggup berkorban wang dan masa untuk ke Bangkok menyokong wira negara beraksi terutamany­a selepas menyaksika­n sejarah tercipta dengan kejayaan mengenepik­an Thailand, - pasukan mengecewak­an Malaysia dua kali di pentas final pada 1996 dan 2014.

Skuad Harimau Malaya kali ini sangat mantap dengan adunan pemain berpengala­man dan pemain muda yang berpotensi. Mohd Aidil Zafuan memimpin pasukan di benteng tengah manakala kembarnya, Mohd Zaquan Adha mengetuai bahagian serangan sambil dibantu wira 2010, Mat Yo.

Tetapi dari ramai pemain muda, saya merasakan Syamer Kutty Abba adalah pemain paling cemerlang untuk pasukan. Kelibatnya di bahagian tengah seperti Patrick Vieira, bukan sahaja untuk melindungi benteng pertahanan tetapi juga bertindak membantu bahagian serangan.

Gol penyamaan Mat Yo yang membawa Malaysia ke pentas final adalah hasil umpanan beliau.

Namun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe dan pembantupe­mbantu beliau menjelang final, Selasa ini.

Benteng pertahanan kita tampak masih sukar mengatasi ‘set-piece’ dari pihak lawan terutamany­a dalam perebutan bola tinggi dalam kotak penalti. Ketiadaan Syahmi Safari di pentas final ini pasti dirasai terutama tenaga beliau yang tidak mengenal penat naik dan turun membantu serangan dan bertahan.

Perlu lebih fokus

Bahagian tengah juga terutamany­a Akram Mahinan perlu lebih fokus dan kental terutamany­a dalam membaca dan meneutralk­an gerakan serangan lawan. Selain itu, pemain-pemain sayap seperti Mohammadou Sumareh dan Safawi Rasid juga perlu lebih tepat dalam melintangk­an bola ke dalam kotak penalti lawan selain perlu lebih klinikal dan yakin dengan penyudahan mereka.

Akhir kalam, saya optimis dengan peluang skuad Harimau Malaya untuk menjulang kejuaraan kedua Piala AFF. Corak permainan Malaysia juga sudah jauh berubah dengan pemain-pemain lebih yakin mengawal permainan dengan penguasaan bola yang sangat bagus.

Taktikal yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe ini sama ada 4-2-3-1 mahupun 4-3-2-1 tidak mengubah permainan pasukan kerana teras permainan pasukan ini adalah berpaksika­n penguasaan bola.

Kita berjaya dominasi lebih 60 peratus penguasaan bola ketika menentang Vietnam di Hanoi dan hanya kealpaan barisan pertahanan memberikan mereka gol. Ayuh penyokong-penyokong Harimau Malaya, zahirkan sokongan anda dengan sama-sama turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyokong pasukan kebangsaan kita. “Satukan Jiwamu, Selamanya Harimau Malaya, Selagi Kita Bernyawa, Oh Malaysia, Kau Kebanggaan­ku!”.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia