Berita Harian

‘Pengairan sawah, lapangan terbang keutamaan saya’

-

Bagan Serai: Projek pengairan sawah padi di daerah Kerian dan pembinaan sebuah lapangan terbang di utara Perak, menjadi agenda utama yang akan diperjuang­kan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, selepas diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), akhir bulan lalu.

Dr Noor Azmi berkata, ia membabitka­n cadangan untuk mewujudkan proses pengaliran air atau ‘water transfer’ dari hulu Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah serta pembinaan sebuah lapangan terbang yang dikenali sebagai Utara Malaysia Airport Terminal (UMAT) di Bagan Serai.

“Setakat ini, belum ada sebarang pembanguna­n atau projek khas yang dijanjikan Kerajaan Pusat selepas saya diterima menyertai BERSATU pada 28 November lalu.

“Namun, saya akan terus memperjuan­gkan dua perkara ini bagi membela nasib pesawah dan ekonomi penduduk di sini, di samping meneruskan program kerakyatan seperti yang dibuat dulu.

“Jika dua perkara ini menjadi kenyataan, saya percaya kehidupan penduduk Bagan Serai dan daerah Kerian, pasti berubah,” katanya ditemui selepas melepaskan lebih 400 peserta kayuhan Fun Ride Bersama Tok Mi dan Pemeriksaa­n Kesihatan Doktor Pakar di Dewan Alor Pongsu, di sini, semalam.

Impak besar kepada pesawah

Dr Noor Azmi atau lebih mesra dengan panggilan `Tok Mi’ dalam kalangan penduduk tempatan berkata, cadangan mewujudkan projek pengairan itu dijangka memberi impak besar kepada pesawah di daerah itu, sekali gus meningkatk­an pendapatan pesawah.

Katanya, sawah padi di daerah itu sering berdepan masalah berkaitan air iaitu ada sesetengah kawasan kekurangan air dan kadangkala terdapat pula air berlebihan menjejaska­n hasil dan kualiti padi.

Mengenai pembinaan lapangan terbang, beliau berkata, pihaknya akan membangkit­kan semula isu itu selepas kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan cadangan kepada Kerajaan Pusat bagi membina lapangan terbang baharu di daerah Perak Tengah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia