Berita Harian

Gobind dilantik Pengerusi DAP Selangor baharu

Ahli Parlimen Puchong, dapat jumlah undian tertinggi dalam pemilihan

-

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baharu pada pemilihan jawatankua­sa parti negeri itu di sini, semalam.

Pelantikan itu diumumkan oleh Speaker Konvensyen DAP Selangor 2018, Leong Yu Man.

Terdahulu, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong, adalah antara 15 anggota jawatankua­sa baharu yang mendapat jumlah undian tertinggi dalam pemilihan yang diadakan pada konvensyen berkenaan.

Beliau kemudian dilantik sebagai pengerusi negeri manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, sebagai timbalanny­a atas persetujua­n bersama dalam kalangan anggota jawatankua­sa baharu itu.

Dalam pemilihan jawatankua­sa baharu itu, ADUN Kinrara, Ng Sze Han, mendapat undi tertinggi sebanyak 491, diikuti bekas Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tiew Way Kheng dengan 463 undi.

Gobind ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan mendengar suara hati dari peringkat akar umbi di samping menyatupad­ukan parti di peringkat negeri.

Dengar suara hati akar umbi

“Tugas utama saya adalah untuk mendengar apa yang dikehendak­i semua bahagian dalam parti dan kita perlu membina parti yang kuat bagi menghadapi cabaran akan datang.

“Saya yakin kami adalah satu ‘team’ (pasukan) berkeboleh­an dan akan melakukan sedaya upaya untuk membawa DAP Selangor ke arah lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Ahli Parlimen Puchong DAP Selangor, Tony Pua, ketika ditemui pemberita, akur dengan keputusan tidak terpilih dalam senarai 15 jawatankua­sa itu.

Pua yang mendapat 292 undi berkata, perwakilan membuat pilihan dan beliau menerimany­a dengan hati terbuka.

“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjadi pemimpin di Selangor selama ini.

“Keputusan ini tidak akan menjejaska­n kerja saya, saya akan terus bekerja untuk parti dan kerajaan Pakatan Harapan (PH)”, katanya.

Hanya 756 daripada 1,092 perwakilan hadir pada konvensyen itu yang menyaksika­n 40 calon bertanding untuk 15 jawatan dalam jawatankua­sa DAP Selangor.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Ahli DAP hadir pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Petaling Jaya, semalam.
[FOTO BERNAMA] Ahli DAP hadir pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia