Berita Harian

Kereta diseret bas ekspres 30 meter

4 terkorban nahas KM131.20 Jalan Kuantan-johor Bahru

- Oleh Shahrinnah­ar Latib

Sepasang suami isteri yang genap sebulan berkahwin dan dua anak saudara mereka maut selepas kereta jenis Perodua Viva dinaiki bertembung dengan bas ekspres di Kilometer (KM) 131.20 Jalan Kuantan-johor Bahru berdekatan Kuala Rompin di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu mengorbank­an pasangan akauntan, Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24, dan Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24, serta anak saudara mereka, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, bersama adiknya, Yasmin Aliah, 12.

Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superinten­dan Azly Mohd Noor, berkata pemandu bas berkenaan, Mohd Salleh Ghazali, 37, berserta 30 penumpang tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu Mohamad Syahmi Emir itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari Teluk Chempedak di Kuantan untuk menghantar anak saudara mereka ke Mersing, Johor sebelum pulang ke Johor Bahru.

Masuki laluan bertentang­an

“Bagaimanap­un, setibanya di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentang­an sebelum bertembung bas ekspres yang menuju ke Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berikutan pertembung­an itu, katanya, kereta berkenaan terseret sejauh 30 meter sebelum terjatuh ke dalam parit di kanan jalan.

“Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian manakala 30 penumpang dan pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara itu, bapa Mohamad Syahmi Emir, Mohd Rawi Manab, 50, berkata anaknya bernikah genap sebulan lalu iaitu pada 8 November.

Sebelum kejadian, katanya, pasangan itu menghantar barang keperluan anak bongsunya berusia 20 tahun di Politeknik Muadzam Shah sebelum singgah di Teluk Chempedak di Kuantan untuk bersiar-siar.

“Sepatutnya saya yang perlu hantar barang berkenan tetapi disebabkan ada kerja, Mohamad Syahmi gantikan saya.

“Anak bongsu saya itu turut mengikut abangnya pulang ke Johor Bahru tetapi menaiki kereta lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rompin di sini, semalam.

Mohd Rawi berkata, anak bongsunya mendakwa mendengar dentuman kuat sebelum melihat ke dalam cermin ketika kereta abangnya dilanggar bas.

“Arwah anak sulung daripada tiga beradik dan amat manja.

“Dia selalu makan bersuap walaupun sudah besar. Apa yang amat menyedihka­n kami ialah Syahmi baru berkahwin, malah barang perkahwina­nnya pun belum dikemas.

Kebumi satu liang

“Kami amat terasa dengan kehilangan ini,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Nur Diana Afifah, Nur Nadira Aifa, 25, berkata adiknya ada meminta supaya akaun media sosial Facebook miliknya dipadamkan sekiranya apa-apa berlaku ke atas dirinya.

“Kami tak pernah menyangka kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Nur Nadira berkata, adiknya yang juga anak ketiga daripada enam beradik berkenalan dengan suaminya sejak 2017 sebelum melangsung­kan perkahwina­n bulan lalu.

Media gagal menemurama­h ibu dua beradik sepupu Mohamad Syahmi Emir itu yang terlalu sedih dengan kehilangan kedua-dua anaknya.

Jenazah mangsa dikebumika­n di Tanah Perkuburan Kampung Seri Pantai, Mersing dalam satu liang, petang semalam.

 ??  ?? Nur Diana Afifah Hasnulhady
Nur Diana Afifah Hasnulhady
 ??  ?? Ahli keluarga menunaikan solat jenazah di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rompin, semalam.
Ahli keluarga menunaikan solat jenazah di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rompin, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia