Berita Harian

Anji tebus kesilapan

Gemar muat naik perkongsia­n positif, fikir dulu sebelum bertindak

- Oleh Farihad Shalla Mahmud

Mengikuti akaun Instagram penyanyi dari Indonesia, Anji, banyak perkongsia­n berunsur positif yang dimuat naik buat tatapan peminat.

Bukan saja cerita perkembang­an kerjaya seni, Anji turut memaparkan entri yang menonjolka­n keharmonia­n rumah tangga untuk dijadikan contoh kepada pasangan suami isteri lain.

Antara perkara menarik yang membuatkan peminat mengagumi jejaka ini adalah apabila Anji tanpa berselindu­ng, mengaku hubunganny­a dengan bekas suami kepada isterinya sangat akrab bagaikan sahabat.

Mungkin perkara itu agak aneh bagi sesetengah orang, namun bukan untuk bekas vokalis kumpulan Drive ini.

“Demi menjaga keharmonia­n, hubungan saya dengan bekas suami kepada isteri saya sangat baik.

“Tak ada gunanya untuk kami bermasam muka kerana mereka sudah berpisah. Sekarang dia (isteri) bersama saya, jadi tak perlulah nak cemburu.

“Lagipun, apa yang kami buat ini semuanya demi anak-anak. Kebetulan, dua anak tiri tinggal bersama saya. Apabila kami berbaik, anakanak gembira.

“Itulah yang berlaku pada mereka. Apabila ada dua bapa, ini yang untungnya. Mereka boleh minta duit daripada kedua-duanya,” cerita Anji sambil tertawa.

Bukan sekadar mahu menebarkan aura positif kepada pengikut, malah, Anji atau nama penuhnya, Erdian Aji Prihartant­o memberitah­u, apa yang dilakukann­ya adalah untuk menebus kesilapan lalu yang diakui sangat memalukan.

“Apabila kita berkongsi sesuatu yang bersifat positif, anak-anak akan bangga dengan kita.

“Suatu ketika dulu, saya pernah dikaitkan dengan berita yang sangat buruk. Walaupun bukan atas kehendak saya, namun ia tersebar dengan pantas. Berita itu memberi gambaran yang sangat negatif terhadap saya.

“Selepas insiden itu, saya berjanji kepada diri saya sendiri, sebelum melakukan sesuatu, apakah perkara itu mampu membuat anak-anak jadi bangga dengan saya?

“Kiranya apa yang saya lakukan hari ini adalah untuk menebus semula kesilapan masa lalu,” ujar penyanyi berusia 40 tahun ini kepada HIP.

Aktif atas talian sejak 2009

Bukan saja ligat di pentas, Anji sangat aktif di media sosial terutama di laman Youtube. Ini kerana dia sering memuat naik pelbagai jenis video yang kebanyakan­nya berkisar kepada aktiviti harian.

Tindakanny­a itu dianggap baik dalam merapatkan hubungan dengan peminat. Namun, ada pihak menganggap amalan itu membuatkan selebriti hilang nilai eksklusif.

Menjawab persoalan itu, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Dia ini menegaskan, dia tidak pernah ambil kisah. Sebaliknya, Anji mempertaha­nkan caranya mendekati peminat.

“Ada rakan artis yang mempunyai pendapat sama kononnya apabila terlalu terdedah di media sosial, nilai eksklusif artis akan hilang.

“Tapi tak mengapa, itu pendapat mereka. Bagaimanap­un, selepas melihat cara ini lebih berkesan untuk mendekati peminat, mereka juga aktif di media sosial.

“Ketika itu, sudah terlambat kerana ramai yang tahu mereka tidak ikhlas dan aktif bersebab. Sedangkan, saya sudah bergiat cergas dalam media sosial sejak 2009 lagi,” katanya ditemui pada majlis pratonton muzik video karaoke Dia di ibu negara, baru-baru ini.

Ramai kuasai Bisindo

Bercerita mengenai muzik video lagu Dia, Anji berkata, sejak dilancarka­n dua tahun lalu, muzik video itu sudah mencecah 100 juta tontonan. Namun, bagi Anji, ada kejayaan lain yang lebih menarik mengenai muzik video itu.

“Melalui muzik video Dia, saya paparkan kisah wanita yang mengalami masalah tidak mampu bertutur dan mendengar dengan sempurna.

“Selepas video ini dimuat naik di Youtube dua tahun lalu, timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat di sana untuk terus memberi perhatian kepada golongan ini.

“Apabila keadaan itu berlaku, saya dapati ramai penduduk di Indonesia sudah mula belajar bahasa isyarat Indonesia (Bisindo) Saya juga tidak ketinggala­n berbuat demikian bagi memudahkan saya berkomunik­asi dengan mereka,” katanya.

Bagi memastikan komuniti ini tidak dipinggirk­an, Anji menggunaka­n kaedah Bisindo dalam setiap muzik videonya.

“Saya sudah mula belajar Bisindo sejak enam bulan lalu. Bagaimanap­un, masih banyak yang perlu dipelajari sebelum benar-benar boleh menguasain­ya.

“Untuk muzik video seterusnya, saya berhasrat memaparkan bahasa isyarat dan sari kata bagi memudahkan golongan ini menikmati muzik saya,” katanya.

Selain Anji juga popular dengan lagu yang juga mengetenga­hkan tema serupa dalam muzik videonya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia