Berita Harian

Amalan demokrasi Malaysia ke-5 terbaik di Asia

-

London: Malaysia menduduki tangga ke-5 dalam senarai amalan demokrasi terbaik di Asia bagi 2017 yang diterajui Korea Selatan diikuti Jepun, India dan Filipina.

Ia berdasarka­n Indeks Demokrasi Unit Risikan Ekonomi yang mengambil kira lima faktor, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, kebebasan sivil, tahap kerajaan berfungsi, penyertaan politik dan budaya politik.

Berdasarka­n indeks itu, kesimpulan­nya, negara Asia sudah mencapai kemajuan terbesar dari segi amalan demokrasi, meskipun ada beberapa negara yang masih ketinggala­n.

Selain itu, menurut portal Thailand, The Nation, banyak negara Asia berada di kedudukan atas amalan demokrasi dalam kalangan 166 negara tetapi belum boleh disifatkan mencapai ‘demokrasi penuh’.

Korea Selatan melonjak ke tangga ke-20 terbaik dunia dari kedudukan ke-24 pada 2016, sebahagian­nya berpunca daripada pemecatan presiden ketika itu, Park Geunhye atas tuduhan menggelapk­an wang, hasil desakan rakyat.

Jepun tangga ke-2 di Asia

Jepun berkeduduk­an ke-2 di Asia tetapi ke-23 secara global, manakala India ke-3 di Asia dan ke-42 secara global, iaitu satu penurunan daripada kedudukan ke-32 sebelumnya kerana pengaruh puak berhaluan kanan serta serangan ke atas minoriti dan pihak digelar ‘penentang’.

Filipina pula berada pada tangga ke-4 di Asia dan ke-51 secara global, manakala Malaysia ke-5 di Asia dan ke-59 secara global diikuti Mongolia dan Sri Lanka yang berada di tempat ke-60 dan ke-62 secara global.

Indonesia pula jatuh dari kedudukan ke-48 kepada 68, sebahagian­nya disebabkan undang-undang menghina agama yang didakwa digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Ini diikuti Singapura di kedudukan ke-69 secara global, manakala Nepal dan Bhutan di tangga 94 serta 99. Thailand pula pada kedudukan ke-107.

Pakistan yang mendapati demokrasin­ya terjejas kerana undang-undang menghina agama serta tapisan media, di tempat ke-110 diikuti Myanmar dan Kemboja. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia