Berita Harian

Pemain tak tertekan

Cheng Hoe sifatkan status ‘underdog’ bantu anak buah tenang, fokus

- Oleh Farah Azharie

Status selaku pasukan ‘underdog’ tidak hanya mampu membawa tuah, malah boleh memberikan ketenangan kepada anak buah Tan Cheng Hoe ketika menentang Vietnam dalam aksi pertama final Piala Konfederas­i Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Bagi pengendali skuad kebangsaan itu, status bukan pilihan tidak hanya mengurangk­an tekanan dalam kalangan anak buahnya, malah menjadi lebih istimewa seandainya mampu meraih kemenangan pada aksi itu.

“Memang menjadi impian kami untuk beraksi di final dan menang dalam perlawanan berkenaan. Namun saya yakin, dengan kebolehan pemain dan tiada apa yang merugikan jika kami kalah.

Bermain dan berseronok

“Biarpun, semua orang menganggap kami selaku pasukan underdog, namun kami akan tetap akan meneruskan bermain dan berseronok dalam perlawanan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, ramai beranggapa­n pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu lalu memberi tekanan tambahan ‘tidak perlu’ kepada pemain, namun Cheng Hoe percaya anak buahnya mampu mengendali­kan situasi berkenaan dengan baik.

“Saya percaya pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan mereka mampu menyerap tekanan serta bertenang menghadapi perlawanan akhir. Perbezaan antara semua ini hanya perlawanan akhir dan pemain saya sudah bersedia menghadapi­nya dan akan kekal fokus,” katanya.

“Ia berbeza dengan perlawanan-perlawanan sebelum ini. Ini adalah aksi final dan pemain sudah bersedia dan fokus untuknya,” katanya.

Cheng Hoe yang pernah menikmati kemenangan pada Piala AFF ketika bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal pada 2010 mahu melihat anak buahnya meledak gol dalam timbal balik pertama dan memanfaatk­an kelebihan beraksi di laman sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia