Berita Harian

PEMIMPIN UMNO TIDAK SEPAKAT

Sebahagian ahli syor adakan persidanga­n khas bincang kedudukan Presiden

- Oleh Wartawan NSTP cnews@nstp.com.my

Isu kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO menjadi krisis yang menyebabka­n parti itu dilihat semakin retak, dengan sebahagian pemimpin cenderung mahu beliau berundur, manakala sebahagian lagi menyokongn­ya kekal dalam jawatan.

Dari semasa ke semasa, semakin ramai pemimpinny­a, termasuk Ahli Parlimen keluar parti, menjadikan kerusi milik UMNO di Dewan Rakyat yang tertinggi dengan 54 kerusi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, terus berkuranga­n kepada hanya 37 setakat semalam, di belakang DAP dan PKR, masingmasi­ng 42 dan 47 kerusi.

Di Johor Bahru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata semua bahagian boleh mengusulka­n Perhimpuna­n Agung Khas diadakan.

Kenyataan yang dimuat dalam Twitternya, membayangk­an bekas Menteri Besar Johor itu seperti bersetuju diadakan persidanga­n khas, yang sebelum ini disuarakan pelbagai pihak bagi membincang­kan kedudukan Zahid, termasuk meminta Presiden UMNO itu berundur.

Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein pula menggesa kepemimpin­an tertinggi parti segera mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bagi menentukan hala tujunya ketika UMNO berdepan saat genting sekarang.

Jaminan kepada akar umbi

“Dalam situasi yang penuh ketidakten­tuan dan kebimbanga­n, saya menggesa kepemimpin­an tertinggi UMNO untuk segera memanggil mesyuarat MKT. Jaminan harus diberi kepada akar umbi pada setiap peringkat.

“Apakah langkah dan ketetapan kepemimpin­an dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap,” katanya dalam satu kenyataan, sambil turut menafikan beliau mengadakan pertemuan rahsia melobi pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata UMNO negeri itu sudah menyatakan pendirian dan memberi Presiden pilihan, sama ada berehat atau undur daripada jawatan berkenaan.

Reformasi parti

“Jika beliau mahu kekal, kita berpendapa­t, Presiden perlu melakukan reformasi kepada parti kerana UMNO tidak lagi boleh bergerak seperti biasa dalam keadaan sekarang, kita kena buat lebih daripada itu.

“UMNO Johor meletakkan harapan tinggi supaya Presiden memberi satu jawapan yang dapat memberi keyakinan kepada semua ahli, sekali gus beliau perlu membuat penambahba­ikan kepada parti.

“Kita berharap satu keputusan segera dapat dibuat Presiden. Hanya menyatakan ‘saya akan mempertaha­nkan kedudukan saya,’ itu bukan satu jawapan yang mahu didengar oleh kepemimpin­an dan ahli UMNO,” katanya.

Sebelum ini, desakan demi desakan disuarakan agar Zahid berundur ketika UMNO berdepan tindakan sejumlah pemimpin, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalk­an parti.

Antara yang menyuaraka­n gesaan itu ialah Pemuda UMNO Alor Setar, Sabah dan Negeri Sembilan, selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Krisis memuncak apabila bekas enam Ahli Parlimen UMNO diketuai Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mendesak Zahid meletak jawatan kerana didakwa gagal memikul tanggungja­wab, walaupun UMNO menghadapi masalah mendapatka­n kepercayaa­n dan keyakinan ahli serta rakyat khususnya orang Melayu.

Sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumka­n lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain 21 ketua bahagian UMNO di Sabah keluar parti berkuat kuasa serta merta.

 ??  ?? Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia