Berita Harian

Malaysia pikat Qatar labur projek kereta nasional ketiga

-

Ipoh: Malaysia sedang cuba menawarkan kepada Qatar supaya dapat melabur dalam projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia berikutan keupayaan negara itu yang dilaporkan bersedia dengan jumlah AS$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk tujuan pelaburan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata jumlah berkenaan adalah keseluruha­n wang dimiliki Qatar yang akan digunakan untuk tujuan pelaburan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang.

“Qatar ada AS$400 bilion untuk dilaburkan di seluruh dunia, dia (Qatar) ada banyak duit, dia mahu laburkan dan kita mahu cari jalan supaya Qatar labur di Malaysia.

“Antara projek yang kita mahu tawarkan adalah projek kereta Malaysia yang ketiga, yang pentingnya Qatar kena ada projek untuk dia laburkan dan kita perlu usahakan supaya dia dapat laburkan dalam projek itu (kereta nasional ketiga),” katanya.

Pelaburan Qatar

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirny­a Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapannya pada konvensyen berkenaan yang ada menyebut mengenai pelaburan Qatar yang mencecah AS$400 bilion yang sebahagian­nya untuk projek kereta nasional ketiga.

Terdahulu dalam ucapannya Khalid berkata, Dr Mahathir ada berbincang dengan pihak Qatar mengenai cadangan pelaburan untuk projek berkenaan.

“Dr Mahathir cakap dengan orang (pihak) Qatar, kamu ada duit, kami ada kepakaran.

“Dalam Kabinet kita dah letak syarat nak buat kereta nasional ketiga jangan guna duit kerajaan, kerajaan tak ada duit.

“Tapi kalau inisiatif swasta, apa salahnya? Qatar nak buka kilang buat kereta di Malaysia, guna kepakaran Malaysia, duit daripada dia takkan kita nak bantah? Kalau dia boleh buat apa salahnya, lagi banyak pekerjaan,” katanya.

Khalid berkata, apa yang menjadi keutamaan pada masa ini adalah untuk mencari projek yang boleh menarik perhatian pihak berkenaan melabur di negara ini.

Qatar ada AS$400 bilion untuk dilaburkan di seluruh dunia, dia (Qatar) ada banyak duit, dia mahu laburkan dan kita mahu cari jalan supaya Qatar labur di Malaysia” Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia