Berita Harian

PM tak wajar dituduh sebagai dalang

-

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak wajar ‘dituding’ sebagai dalang atau bersikap ‘apologetik’, kononnya mencetuska­n gelombang perpecahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakang­an ini.

Ketua Dasar dan Strateginy­a, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif, mengemukak­an lima sebab bagi menangkis tanggapan itu berkata, perpecahan sehingga menjurus kepada tindakan keluar parti beramai-ramai tidak bermakna semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator akan menyertai BERSATU.

“Contohnya, seorang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) di Sabah, minggu lalu, manakala selebihnya masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas, sementara menunggu proses saringan dan pengesahan bagi menentukan mereka benar-benar bertaubat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bekas Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Tan Sri Liew Yun Fah, menyertai AMANAH pada 2 Disember lalu.

Berdasarka­n perkembang­an semasa, Rais berkata, BERSATU belum dinobat sebagai parti paling berpengaru­h di Parlimen, sekali gus bercanggah dengan dakwaan dilemparka­n segelintir pihak mutakhir ini.

“Hanya dengan kekuatan 19 Ahli Parlimen, BERSATU kekal sebagai parti minoriti, berbanding DAP yang mempunyai 42 Ahli Parlimen, manakala PKR diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 50 Ahli Parlimen,” katanya sambil menyifatka­n ia mesej jelas bahawa BERSATU masih jauh ketinggala­n dalam aspek pegangan kerusi di Parlimen.

Sebab kedua, Rais berkata, BERSATU hanya boleh dianggap sebagai paling berkuasa di Malaysia dalam landskap politik sekiranya semua 47 Ahli Parlimen UMNO mengumumka­n keluar parti dan menyertain­ya.

Bebas rasuah diberi tiket

Bagaimanap­un, beliau menegaskan hanya bekas ahli UMNO yang tidak terpalit dengan sebarang elemen rasuah didalangi pentadbira­n terdahulu akan diberi ‘tiket’ menjadi sebahagian daripada keluarga BERSATU.

“Ia juga tidak asing daripada pengetahua­n Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa dimaklumka­n mengenai sebarang keputusan sebegini.

“Sebab ketiga, rakan komponen seperti DAP dan PKR berulang kali menyatakan mereka tidak akan bekerjasam­a dengan bekas ahli UMNO yang mempunyai agenda meragukan.

“Naib Presiden PKR, Dr A Xavier Jayakumar, sebaliknya menegaskan bahawa bekas ahli UMNO hanya akan diterima jika mereka sedia mendedahka­n kepincanga­n didalangi kepemimpin­an parti, selain menyatakan taat setia kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.

Rais berkata, BERSATU tidak akan bersikap ‘curang’ dengan menyisihka­n pendirian rakan komponen yang ketika ini menyatakan keengganan mereka menerima kemasukan bekas ahli UMNO.

Selain itu, katanya, PH perlu meraih peningkata­n dalam kalangan pengundi Melayu yang ketika ini hanya sekitar 25 hingga 30 peratus, berdasarka­n keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

“Untuk mewujudkan Malaysia baharu, di mana 60 hingga 65 peratus daripada penduduk di negara ini ialah Melayu, kita tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru dengan menyisihka­n keperluan meraih sokongan wakil Melayu.

“Anwar tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menerima Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan, selagi mereka menyatakan kesetiaan terhadapny­a. Hakikatnya, UMNO sukar diterima sebagai satu entiti.

“Oleh itu, PH perlu cakna supaya jangan terima mereka semua bulat-bulat, sebaliknya segelintir daripadany­a, kerana bukan satu dosa untuk kita menjalin kerjasama dengan Ahli Parlimen yang keluar daripada parti masing-masing selagi tidak didakwa bersandark­an kedaulatan undang-undang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia