Berita Harian

Elak unsur politik cemari kuota haji

-

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh, mengumumka­n keputusan kerajaan tidak lagi memberi kuota haji khas kepada menteri dan Ahli Parlimen bagi membolehka­n lebih ramai rakyat dapat menunaikan ibadat itu pada masa hadapan. Isu kuota khas haji kepada pemimpin politik memang sering menjadi bahan sembang, namun selalunya ia senyap begitu sahaja dan terus berakar umbi. Justeru, keputusan dibuat kerajaan baharu amat dialu-alukan kerana ia dapat memastikan keadilan dalam sistem penggilira­n menunaikan Rukun Islam kelima itu. Penetapan kuota haji khas kepada menteri dan Ahli Parlimen ibarat menafikan hak rakyat untuk mendapat pertimbang­an adil giliran mengerjaka­n ibadat itu. Walaupun slot khas untuk golongan VIP mungkin tidak besar, perlu diambil kira nasib rakyat marhain yang sabar menanti giliran atau mengikut Fuziah, ada yang terpaksa menunggu sehingga 100 tahun sebelum sampai giliran berangkat ke Makkah. Menyedihka­n kerana rata-rata bakal haji dalam senarai menunggu itu benar-benar lanjut usia. Dengan kata lain, tidak tahu, sama ada mereka sempat atau tidak untuk ke Tanah Suci, andai giliran tiba selepas dua atau tiga dekad lagi. Diharap keputusan mengenai kuota haji ini sedikit melegakan masyarakat Islam, khususnya 9.3 juta pendeposit Tabung Haji (TH) yang ketika ini turut 'terganggu' dengan kemelut melanda agensi yang bertanggun­gjawab mengendali­kan urusan berkaitan haji. Semua pasti bersetuju, isu kuota haji Malaysia perlu ditadbir secara telus, khususnya memastikan sistem penggilira­n bagi 30,200 kuota haji semasa diagihkan secara adil. Fuziah juga mengakui kepentinga­n rakyat secara keseluruha­n khususnya bakal haji, antara pertimbang­an kerajaan dalam memutuskan pemberhent­ian amalan pemberian kuota khas kepada menteri dan Ahli Parlimen. Katanya kuota diberikan kepada pihak tertentu, walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang ada yang dijual kepada mereka yang mahukan kuota haji dan akhirnya mengambil hak orang yang layak. Ketika ini, penetapan penggilira­n dibuat berdasarka­n konsep first come, first serve atau berpanduka­n giliran pendaftara­n haji dibuat pendeposit TH. Berdasarka­n syarat, pendeposit layak mendaftar haji dengan baki minimum akaun simpanan RM1,300 bersama TH, namun tidak dibenarkan bagi mereka yang baru menunaikan ibadat itu dalam tempoh lima tahun. Bercakap soal ketelusan, kepentinga­n golongan politik yang meracuni isu kuota haji negara selama ini wajar dihapuskan. Sebelum ini, banyak kita dengar jumlah tertentu dalam kuota haji tahunan diberikan kepada menteri atau Ahli Parlimen, yang kemudian diagihkan kepada sesiapa sahaja yang diingini atas dasar kepentinga­n politik. Penghantar­an 5,711 jemaah haji atas tajaan Yayasan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) sepanjang tempoh 2011 hingga 2017, antara dikaitkan dengan amalan itu apabila peserta diberi kelebihan laluan ‘hijau’ melalui kuota khas, tanpa perlu menunggu seperti bakal haji lain. Timbul persoalan berapa peratus sebenarnya daripada kuota haji setiap tahun diagihkan mengikut sistem giliran dan berapa peratus pula melalui laluan ekspres. Namun, yang pasti bukan keseluruha­n kuota haji setiap tahun diagihkan mengikut sistem penggilira­n yang telus. Ramai melihat peningkata­n kuota haji berbanding 30,200 ketika ini langkah terbaik mengurangk­an tempoh menunggu yang lama bagi jemaah haji Malaysia, namun ia bergantung pada pertimbang­an dan kelulusan Kerajaan Arab Saudi. Bagi kerajaan dan TH, peranan pentadbir untuk memastikan pengagihan sistem giliran haji secara adil perlu diberi keutamaan. Adil bukan hanya bermaksud mematuhi sistem giliran sedia ada, tetapi mungkin boleh dicari mekanisme bersesuaia­n supaya keutamaan penentuan giliran dapat diberikan kepada bakal haji yang sudah lanjut usia dan memenuhi syarat.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia