Berita Harian

Tragedi, bencana kejutan dunia sepanjang 2018

Lebih 100 kejadian dicatat, ramai mangsa terbunuh

- Oleh Sophia Ahmad sophia@bh.com.my

Saban tahun dunia tidak pernah sunyi daripada bencana, sama ada dicetuskan manusia atau alam, setiap kali itu juga, nyawa menjadi taruhan.

Nahas ngeri dan bencana alam mendominas­i 2018 apabila lebih 100 kejadian dicatatkan, antaranya menyaksika­n ratusan orang terbunuh.

Membuka tirai 2018, benua Amerika Selatan digemparka­n dengan kemalangan membabitka­n sebuah bas persiaran di Pasamayo, Peru, yang meragut 51 nyawa pada 2 Januari. Bas membawa 57 penumpang itu dalam perjalanan dari Huacho ke Lima dan terjunam ke dalam gaung selepas dilanggar treler. Nahas ngeri

Pada 18 Januari, sebuah bas membawa pekerja asing dari Uzbekistan menuju Kazan, Russia terbakar dan membunuh 52 penumpang manakala lima individu lain berjaya menyelamat­kan diri. Kejadian pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan) itu berlaku di jalan Samara-shymkent di daerah Yrgyz, Aktobe, Kazakhstan dengan semua mangsa disahkan rakyat Uzbekistan, manakala pemandu bas adalah rakyat tempatan.

Wanita, kanak-kanak maut

Kebanyakan mangsa maut adalah wanita serta kanak-kanak kerana lemas akibat asap. Yang turut terbunuh ialah pemandu bas yang didapati belum cukup terlatih untuk mengendali­kan kenderaan sebesar itu.

Afrika tidak terlepas daripada nahas ngeri apabila 38 mangsa, sebahagian besarnya pelajar terkorban selepas bas dinaiki terjunam ke dalam gaung di Amhara, Habsyah pada 12 Mac.

Di India pula, 48 orang maut apabila sebuah bas tergelinci­r ketika melalui lereng gunung sebelum terhumban 210 meter ke dalam gaung di Uttarakhan­d pada 1 Julai. Sebulan selepas itu pada 1 Ogos, 57 penganut Hindu yang dalam perjalanan ke kuil di Telangana, juga terbunuh apabila bas dinaiki terhumban dari jalan.

Muatan penumpang berlebihan disyaki punca kenderaan itu hilang kawalan sebelum berakhir dengan nahas menyayat hati berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia