Berita Harian

Aliran masuk dana asing dijangka meningkat

-

Aliran masuk dana asing dijangka bertambah baik pada minggu-minggu berikutnya seperti yang ditunjukka­n melalui kemasukan sebanyak RM123.3 juta dana asing pada Khamis, kemasukan tertinggi sejak 8 November.

Ketua Penyelidik Inter-pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata kemasukan yang tinggi juga membantu menurunkan aliran keluar bersih dana asing minggu lalu sebanyak RM181.1 juta sehingga Khamis.

Mengatakan bahawa ini mungkin petunjuk dana asing melihat Malaysia dengan lebih positif, beliau menambah lebihan akaun semasa negara yang konsisten membantu terhadap sentimen yang kukuh ini.

“Mereka menyedari bahawa Malaysia adalah satu daripada beberapa pasaran pesat membangun yang secara konsisten merekodkan lebihan akaun semasa. Sejak 20 tahun lalu, kita tidak merekodkan sebarang defisit akaun semasa, bermakna bahawa kita hidup dengan baik sesuai kemampuan kita, tidak terlebih belanja dan tidak terlebih import,” katanya.

Teng Siew juga berkata bahawa, pelabur tidak terkesan dengan perkembang­an semasa yang menyelubun­gi Tabung Haji (TH) dan tidak mengurangk­an pendedahan kepada pasaran ekuiti kerana melihat pasaran secara keseluruha­n.

Bagaimanap­un katanya, cadangan TH untuk menjual peganganny­a, terutama dalam kaunter bermodal kecil akan memberi impak besar kepada pasaran ekuiti tempatan dan menjejaska­n sentimen dalam kalangan pelabur tempatan.

“Melihat kepada saiz dana mereka, ia mungkin sebesar RM10 bilion nilai saham yang akan dijual di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan sentimen dalaman dan luaran yang berhati-hati, aktiviti meningkatk­an penampilan prestasi dana dijangka hanya akan bermula akhir bulan ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia