Berita Harian

Pengurus pusat hiburan maut ditetak

Polis tahan 3 lelaki bantu siasatan, rampas 4 kereta

- Oleh Nor Azizah Mokhtar

Seorang pengurus pusat hiburan maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pub di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, dekat sini, awal pagi semalam.

Bersenjata parang

Dalam kejadian pada jam 6.38 pagi, mangsa berusia 28 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjata­kan parang ketika berdiri di luar pub terbabit bersama beberapa lelaki lain.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada jam 7.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata susulan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun untuk membantu siasatan dan merampas empat kereta.

Siasat motif sebenar

“Kita turut menemui tiga parang dalam salah sebuah kereta milik suspek yang ditahan.

“Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar kejadian dan usaha mengesan baki suspek sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaa­n pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara beberapa lelaki di hadapan pub terbabit pada jam 5.32 pagi.

“Kira-kira sejam kemudian, empat kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HR-V, Volkswagen Golf dan Toyota Camry datang ke lokasi sebelum beberapa lelaki bersenjata­kan parang keluar serta menyerang mangsa yang berada di luar pub.

“Dalam keadaan cedera parah, mangsa sempat menyelamat­kan diri ke dalam pub itu sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar kejadian dan usaha mengesan baki suspek sedang dijalankan” Mohd Zani Che Din, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya

 ??  ?? Polis dan forensik memeriksa kereta milik salah seorang suspek yang ditahan, di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, semalam.
Polis dan forensik memeriksa kereta milik salah seorang suspek yang ditahan, di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia