Berita Harian

Tangani LGBT secara berhikmah

-

Pendekatan dakwah dan teguran secara berhikmah adalah jalan terbaik bagi membantera­s perkara yang mencemarka­n kesucian agama Islam terutamany­a membabitka­n golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksua­l (LGBT).

Allah SWT mendidik Nabi Muhammad SAW supaya sentiasa berdakwah secara hikmah. Seperti firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat, kebijaksan­aan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahasla­h dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Al-nahl: 125)

Tidak tunduk terhadap desakan atau komen negatif pihak tertentu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI) percaya kaedah berkenaan adalah penyelesai­an terbaik menangani masalah kebejatan sosial dalam kalangan masyarakat hari ini.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail pada wawancara khas bersama BH Agama berkata, masyarakat perlu memahami pihak jabatan agama mempunyai prosedur kerja berperingk­at termasuk dalam membantera­s golongan LGBT.

“Mereka yang terbabit dalam gejala LGBT ini tentu ada yang berilmu, cuma terpengaru­h dengan rakan. Jadi, kami melihat cara terbaik adalah menyeru mereka untuk kembali ke jalan Allah SWT secara berhikmah.

“Ada sebahagian masyarakat tidak faham kenapa tiada tangkapan dilakukan apabila didapati berlaku kesalahan membabitka­n perkara mencemarka­n kesucian Islam.

“Kesalahan yang boleh ditangkap ini jika ia berlaku di depan mata. Namun, bagi kes yang masih boleh ditegur, maka berilah nasihat,” katanya.

Mengupas lebih lanjut, Mohd Ajib berkata, bagi kesalahan membabitka­n pelaku LGBT di media sosial, langkah pada peringkat awal adalah mendapatka­n maklumat dengan melakukan risikan bagi mengetahui kesahihann­ya.

“Biasanya bahagian penyelidik­an JAWI akan panggil pelaku untuk berbincang. Perbincang­an ini penting supaya tidak terus berlaku perkara mencemarka­n kesucian agama dan sensitivit­i masyarakat Islam.

Beri penerangan menerusi khutbah Jumaat

“Langkah kedua, sekiranya isu berkenaan disebarkan di Wilayah Persekutua­n, kami akan melihat balik bagaimana cara terbaik untuk menyelesai­kannya termasuk dengan memberikan kenyataan dan penerangan kepada masyarakat umpamanya pada sesi khutbah Jumaat.

“JAWI turut menggunaka­n media sosial rasmi untuk memberikan maklum balas bagi memastikan kami sentiasa pantas dan cakna terhadap isu semasa,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya JAWI lambat bertindak dan perkara itu tersebar sehingga menjadi perdebatan hangat, ia akan memberikan implikasi negatif kepada imej institusi itu sendiri.

Tambahnya, JAWI sentiasa berkongsi maklumat dan melaksanak­an perbincang­an dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n membabitka­n isu agama terkini yang menimbulka­n kontrovers­i dalam kalangan masyarakat.

Menyentuh mengenai penangkapa­n, Mohd Ajib berkata, ia adalah langkah terakhir yang akan diambil bagi menyelesai­kan sesuatu isu agama sama ada yang berlaku di mana-mana tempat di Wilayah Persekutua­n atau media sosial.

“Sekiranya nasihat dan penjelasan sudah diberikan, tetapi golongan ini masih tidak mengendahk­an dan terus melakukan perkara yang bertentang­an syariat sehingga merosakkan kesucian Islam, JAWI akan menggunaka­n akta atau undang-undang di Wilayah Persekutua­n yang berkaitan.

“Ia bukan membabitka­n golongan LGBT semata-mata, bahkan kesalahan lain termasuk maksiat dan minum arak.

“Bukan tidak berlaku penangkapa­n, bahkan kami banyak bekerjasam­a dengan pelbagai pihak termasuk Kementeria­n Wilayah Persekutua­n melakukan operasi secara besar-besaran, selain turut bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak polis termasuk menerima aduan orang ramai,” katanya.

Katanya, JAWI sentiasa bersedia menjawab pelbagai isu berkaitan dengan masyarakat dan tidak pernah lari daripada masalah. Semua perkara dijawab dan diselesaik­an segera bagi mengelakka­n masyarakat tertunggu-tunggu dan terus berada dalam keadaan keliru.

Sementara itu, pendakwah bebas, Muhadir Joll, berpandang­an dalam keadaan semasa negara yang terus dihimpit isu LGBT, langkah yang lebih proaktif perlu dibuat iaitu dengan memberikan amaran.

“Mula-mula dahulu kita bagi pendidikan, ilmu dan teguran. Namun, sekarang ia seakan tidak mampu membantera­skan kumpulan ini jadi mereka ini perlu diberikan amaran sebagai langkah pembantera­san.

“Zaman Nabi dulu, LGBT sudah ada cuma tidak sampai ke tahap hari ini sehingga mereka ada organisasi atau persatuan tersendiri, seolah-olah diberikan tempat dalam masyarakat.

“Ada pula yang datang berjumpa dengan mereka, seolah-olah berbaik. Sepatutnya, amaran perlu dikeluarka­n bahawa perbuatan itu adalah terkutuk, perlu dibubarkan persatuan berkenaan dan jika ingkar tindakan akan diambil,” katanya.

Tambah Muhadir, LGBT ini bukan untuk diraikan, justeru mereka perlu sentiasa diberitahu perkara itu dilaknat Allah SWT sekali gus tidak membiarkan golongan berkenaan terus berada di zon selesa.

“Masyarakat dan ahli agama perlu bersatu dan menerangka­n kepada golongan ini, LGBT bukan hak milik individu untuk mengamalka­nnya.

“Sekiranya amalan LGBT dianggap satu kebebasan, ia adalah bentuk kebebasan yang terkutuk.

“Perkara ini perlu kerap diulang-ulang, supaya mereka takut dan daripada itu dapat mencetuska­n kesedaran.

“Manusia ini bila ada dalam satu kumpulan akan menjadi lebih kuat, tetapi bayangkan jika mereka ini dipinggir, tidak diendahkan pasti lambat laun boleh berubah ke arah kebaikan,” katanya.

Elak tonjolkan pelaku LGBT

Muhadir turut menegur pendakwah masa kini supaya tidak terlalu menonjolka­n pelaku LGBT untuk tontonan awam khususnya di media sosial.

“Usaha pendakwah hari ini yang menyantuni, menasihati dan mendamping­i mereka ini adalah amat baik seperti pendekatan yang dilakukan oleh beberapa orang ustaz.

“Cuma, jika boleh usah dikongsi di media sosial kerana pentarbiah­an sebegini seolah-olah mengakui keberadaan mereka.

“Lebih baik dakwah dilakukan secara tertutup, tanpa pengetahua­n orang ramai kerana kerana dibimbangi anak remaja yang melihatnya terikut-ikut dengan gaya serta perbuatan mereka.

“Mengasingk­an atau dalam erti kata lain meminggirk­an golongan ini dengan cara tidak memberikan perhatian berlebihan bagi saya satu tarbiah rohani dan pendekatan psikologi untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Mereka terbabit LGBT tentu ada yang berilmu, cuma terpengaru­h dengan rakan. Kami melihat cara terbaik adalah menyeru mereka kembali ke jalan Allah SWT secara berhikmah” Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia