Eksperimentasi pemikiran manusia menerusi seni
Kuala Lumpur: Pameran seni visual, Mindscape yang berlangsung di Galeri Prima, Bangsar, sehingga Jumaat ini, memperlihatkan bagaimana karya seni mampu meneroka dan merakamkan kerumitan pemikiran manusia.
Pengurus Galeri Prima Azlynn Aziz, berkata Mindscape yang menjadi penutup kepada pameran tahun ini, menampilkan sejumlah 80 karya terdiri daripada catan, arca, cetakan serta cetak paras (relief drawing).
“Mindscape membabitkan 17 pelukis yang melakukan eksperimentasi untuk menghasilkan karya seni terbaik.
“Karya yang terhimpun dalam pameran ini membolehkan kita sebagai peminat seni merenung dan memahami makna di sebaliknya seperti ditampilkan Zaim Durulaman, melalui Rahsia Lebah #02,” katanya.
Tambah Azlynn, perihal lebah seperti diangkat Zaim, turut disebut dalam ayat 68 dan 69 melalui
Surah An’nahl: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok kayu dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia.”
“Kemudian makanlah dari tiaptiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang sudah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benarbenar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.”
Menurut Azlynn: “Lebah dimasukkan sebagai satu simbol tadabbur oleh Zaim, bagi mengajak manusia untuk berfikir dan mengamati ayat al-quran serta memahami makna disebaliknya.”
Tonjol nilai estetika
Azlynn berkata, Mindscape juga turut menghimpunkan karya Rosli Zakaria dan Liu Cheng Hua, yang masing-masing menonjolkan kecantikan serta nilai estetika tersendiri, meskipun dihasilkan daripada bahan buangan.
Berlangsung sejak 12 November lalu, Mindscape turut menampilkan beberapa seniman lain daripada latar seni berbeza, termasuk Abdullah Jones, Ahmad Fauzi, Aely Manaf, Azman Nor, Hamdan Saarani, Jamil Mat Isa dan Johan Marjonid.
Yang turut ditampilkan ialah Nor Hanem Mohd Nor, Norlisham Nor, Nurul Ashikin Habeni Hajar, Sharmiza Abu Hassan, Zaharin Mohammad, Zainon Abdullah dan Zarina Abdullah.