Berita Harian

Real, Atletico himpit Barca

-

Madrid: Jaringan Karim Benzema membawa Real Madrid dua mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Rayo Vallecano, kelmarin.

Gol Benzema pada minit ke-13 sudah cukup untuk membawa Real ke tangga ketiga dengan 29 mata, dengan Barca yang mengumpul 31 mata boleh menjarakka­n kembali kelebihan ketika berkunjung ke Levante.

Sementara itu, rakan senegara Benzema dari Perancis, Antoine Griezmann menyumbat dua gol untuk membantu Atletico Madrid menang 3-2 ke atas Real Valladolid dan membawa kelab itu berkongsi jumlah pungutan mata dengan Barca.

Sevilla juga berpeluang untuk memintas Real dan berkongsi jumlah pungutan mata dengan Barca dan Atletico apabila mereka bertemu Girona.

Rayo yang menghuni tangga kedua tercorot liga tetap tidak memberikan kemenangan mudah buat Real.

Bahkan, mereka hampir mencuri satu mata di laman lawan jika pertahanan, Sergio Ramos tidak menyelamat­kan cubaan di garisan gol ketika Thibaut Courtois sudah dua kali tertewas.

Griezmann cemerlang

Bintang Real, Luka Modric mempersemb­ahkan trofi Ballon d’or yang dimenangin­ya sebelum perlawanan di Santiago Bernabeu, tetapi selepas perlawanan tamat, peminat tampak tidak gembira dengan keputusan yang diraih.

Dalam aksi lebih awal, Griezmann menyumbat gol kemenangan buat skuad kendalian Diego Simeone, 10 minit sebelum permainan berakhir ketika Valladolid bangkit daripada ketinggala­n dua gol pada babak pertama.

Selepas terbabit dengan gol pembukaan Aletico yang dijaringka­n Nikola Kalinic pada minit ke-26, pemenang Piala Dunia itu meletakkan pelawat 2-0 pada penghujung babak pertama menerusi penalti.

Tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Fernando Calero pada minit ke-57 dan jaringan sendiri, Saul Niguez enam minit kemudian.

Ketika perlawanan tampak berakhir tanpa tambahan jaringan, Griezmann muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan berpunca daripada sepakan sudut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia