Berita Harian

Oltmans mahu rombak skuad hoki

-

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans sedia merombak barisannya untuk menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik 2020 tahun depan.

Justeru, Oltmans menegaskan akan memantau saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula dari 11 Januari hingga 3 Mac depan.

“Saya akan cuba hadiri sebanyak mungkin perlawanan liga dan kemudian melakukan penilaian ke atas setiap pemain.

“Jika saya berasakan ada beberapa pemain berhak berada dalam skuad kebangsaan sudah tentu saya akan menjemput mereka.

“Pertama mereka perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan dan kemudian mungkin boleh diserap secara kekal,” katanya.

Cari bakat baharu

Oltmans berkata, beliau bersikap terbuka dalam soal rombakan pasukan kerana sedar tidak ada pemain akan selamanya kekal di dalam skuad.

“Sudah tentu kami perlu mencari bakat baharu. Di dalam pasukan ketika ini ada beberapa pemain yang menghampir­i penghujung karier dalam tempoh setahun, dua atau tiga tahun lagi.

“Maka kami perlu memastikan dapat memperoleh bakat baharu yang sedia menggantik­an tempat pemain senior,” katanya.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan kritikan beberapa pihak yang mendesak Oltmans untuk melakukan rombakan ke atas pasukannya susulan kegagalan di Piala Dunia Bhubaneswa­r, India yang menyaksika­n Malaysia tersingkir awal.

Malaysia akan menganjurk­an Final Siri Hoki yang berlangsun­g dari 23 April sehingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Hanya dua pasukan terbaik akan mara ke Acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Tokyo 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia