Berita Harian

Pura-pura muntah elak ujian AADK

-

Sandakan: Pura-pura muntah dan mengadu mengalami gastrik untuk mengelak melalui pemeriksaa­n ujian air kencing. Itu antara taktik seorang suspek ketika cuba diperiksa pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bersepadu di jalan utama Bukit Garam, Kinabatang­an - Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Tidak cukup alasan itu, suspek berusia 26 tahun itu juga cuba melarikan diri apabila mahu digari selepas ujian menunjukka­n lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

Bagaimanap­un, tindakan suspek sia-sia selepas berjaya ditahan dalam operasi yang membabitka­n seramai 28 anggota AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Ketua Pegawai AADK Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim, berkata seramai lima lelaki berusia 19 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Daripada 13 yang diperiksa, cuma lima ditahan kerana didapati positif dadah.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Aisyah berkata, dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki ditahan di Batu 7, di sini, selepas didapati turut positif dadah dalam Ops Cegah yang dijalankan di kawasan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia