Berita Harian

Mesti ada sebab tersendiri: Dr Mahathir

-

Cyberjaya: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Nurul Izzah Anwar mesti mempunyai sebab tertentu sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang.

Bagaimanap­un, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan juga mengenai apa yang sedang berlaku dalam parti berkenaan.

“Saya bukan daripada PKR, saya tidak tahu, tentu dia (Nurul Izzah) ada sebab tersendiri. Saya tidak tahu apa-apa berkaitan dengan apa yang sedang berlaku dalam PKR,” katanya ketika ditemui media selepas sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini, semalam.

Adakan pertemuan

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang ditemui pada majlis sama berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nurul Izzah bagi mendapatka­n penjelasan lanjut.

“Saya baru menerima berita tersebut pagi ini (semalam). Saya akan jumpa dengannya untuk bertanyaka­n apa yang berlaku,” katanya.

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua, terkejut dan sedih dengan keputusan Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden parti itu.

“Saya terkejut dan sedih dengan berita serta keputusan beliau. Kita belum dapat secara rasmi apa-apa (surat peletakan jawatan) cuma dapat berita ini daripada media.

“Bagi saya, beliau adalah pemimpin yang berpotensi dan dalam keadaan sekarang (saya) amat bersimpati dengan kedudukan beliau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia