Berita Harian

Yakin Tun M serah jawatan kepada Anwar: PKR Kedah

-

Sungai Petani: PKR Kedah yakin Tun Dr Mahathir Mohamad, akan mengotakan janjinya memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata tidak timbul sebarang isu atau masalah dalam melantik Anwar, walaupun kini terdapat bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Ketika Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, antara perkara yang termaktub dalam perjanjian adalah menerima Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh selama dua tahun dan Anwar menjadi Perdana Menteri berikutnya.

Pegang janji Dr Mahathir

“Alhamdulil­lah, kita menang dan PKR yang paling banyak memperoleh kerusi. Walaupun kita paling besar di Parlimen, kita masih memegang janji bahawa Dr Mahathir tetap Perdana Menteri. Sudah pasti Tun juga akan mengotakan janji,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ditanya adakah beliau akan menjadi Menteri Besar Kedah menggantik­an Datuk Seri Mukhriz Mahathir jika Anwar menjadi Perdana Menteri, Johari hanya tersenyum dan ketawa.

“Jika diberi pilihan duduk di Pusat dengan menjadi menteri atau menjadi Menteri Besar Kedah, saya memilih menjadi Menteri Besar.

“Saya sudah lama di Parlimen iaitu tiga penggal dan saya mahu berkhidmat dengan rakyat dan Sultan saya. Saya yakin boleh menjalanka­n tugas ini dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai kemasukan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO ke PH, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, ia bukan lesen yang mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang jika mempunyai kesalahan.

“Kalau dia ada kes rasuah, kes curi, walaupun dia masuk PH, ia tidak halang pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka. Jangan ingat dia nak masuk PH, segala dosa lampau itu terbasuh,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia