Berita Harian

Rangka remaja prasejarah ditemui di Gua Chawan

Dipercayai perempuan berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun

- Oleh Syalikha Sazili

Rangka manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka prasejarah yang dipercayai remaja perempuan itu ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama sekumpulan penyelidik sejarah membabitka­n pegawai dan kakitangan bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara serta penyelidik Jabatan Sejarah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pelanconga­n, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata selain rangka manusia, turut ditemui artifak lain ketika mereka menjalanka­n ekskavasi arkeologi di kawasan berkenaan.

Katanya, antara artifak yang ditemui alat litik, sisa makanan berbentuk tulang haiwan, cangkerang siput dan serpihan tembikar tanah.

“Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini adalah jumpaan penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baru terhadap amalan pengebumia­n dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

Pemulihara­an rangka secara menyeluruh

“Rangka manusia ini ditanam dalam keadaan sedikit berlipat dengan bahagian muka menghala ke utara manakala bahagian lutut ke arah selatan.

“Menurut Jabatan Warisan Negara, rangka itu dipercayai remaja perempuan berdasarka­n tulang pelvis yang dijumpai pada rangka terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr Zainah Ibrahim.

Mohamaddin berkata, rangka terbabit sudah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan kini ditempatka­n di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara bagi kerja merekod dan pemulihara­an rangka secara menyeluruh.

Pengambila­n sampel

“Kerja terbabit akan mengambil tempoh masa 60 hari sehingga selesai merangkumi pengambila­n sampel, merekod, pembersiha­n, rekod tarikh, pencantuma­n, pengawalan kelembapan dan suhu serta repositori.

“Segala jumpaan di tapak ini cukup bermakna bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Zainah berkata satu bangunan warisan akan dibangunka­n di Gua Musang kelak bagi mempamerka­n barang artifak ini.

“Buat masa ini penemuan rangka manusia dan artifak masih pada peringkat konservasi.

“Bangunan warisan itu mungkin dibina pada tahun 2020 dan mengambil masa dua hingga empat tahun sebelum ia dibuka kepada umum,” katanya.

 ?? [FOTO ASYRAF HAMZAH /BH] ?? Penolong Pengarah Jabatan Warisan Negara (Arkeologi), Yazid Othman memberi penerangan berkenaan rangka manusia prasejarah dan artifak arkeologi yang dtemui.
[FOTO ASYRAF HAMZAH /BH] Penolong Pengarah Jabatan Warisan Negara (Arkeologi), Yazid Othman memberi penerangan berkenaan rangka manusia prasejarah dan artifak arkeologi yang dtemui.
 ??  ?? Artifak yang ditemui bersama rangka manusia di Gua Chawan.
Artifak yang ditemui bersama rangka manusia di Gua Chawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia