Berita Harian

Kes rasuah, pecah amanah bekas PM jadi tumpuan

SPRM bawa ramai kenamaan ke muka pengadilan

- Oleh Murni Wan Omar

Kes pertuduhan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan antarabang­sa di mahkamah pada tahun ini.

Bukan sahaja Najib malah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa individu terkemuka bersilih ganti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di sini atas tuduhan jenayah.

Sejak awal tahun, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertungkus-lumus menyiasat dan membawa ramai individu kenamaan dan orang awam yang terbabit dengan jenayah kolar putih ke muka pengadilan.

Antara yang dibawa ialah Bekas Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas pegawai Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor; bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Tuduhan ke mahkamah

Turut dihadapkan ke mahkamah adalah ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Semua mereka mengaku tidak bersalah atas semua kesalahan dan perbicaraa­n penuh dijangka bermula tahun depan.

Najib sendiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah sebanyak lima kali termasuk didakwa melakukan pecah amanah bersama Irwan Serigar dan meminda laporan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Manakala Rosmah pula dua kali dihadapkan ke mahkamah termasuk bersama bekas pegawai suaminya, Rizal.

Difahamkan akan lebih banyak lagi individu yang terbabit dengan kes jenayah kolar putih ini akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia