Berita Harian

143 penduduk dipindahka­n

Tiga daerah di Terengganu mula dinaiki air, 6 pusat pemindahan diaktifkan

- Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim, Fitrinizam, Zaid Salim, Hazira Ahmad Zaidi, Faliq Lajim dan Nazri Abu Bakar

Hujan lebat yang berterusan beberapa hari kebelakang­an ini menyebabka­n beberapa kawasan, khususnya di Pantai Timur dinaiki air dan penduduk terpaksa dipindahka­n.

Di Terengganu, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Seramai 143 mangsa daripada 35 keluarga dipindahka­n ke PPS sejak pagi semalam, berikutan kawasan perumahan mereka ditenggela­mi air.

Daripada jumlah itu, seramai 84 mangsa membabitka­n 20 keluarga ditempatka­n di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, manakala enam lagi dipindahka­n ke SK Pasir Putih.

Setiu yang sebelum ini baru pulih daripada bencana banjir sekali lagi ditenggela­mi air di beberapa kawasan menyebabka­n 16 mangsa terpaksa dipindahka­n ke tiga PPS.

Di Kuala Terengganu, satu PPS dibuka di SK Chendering bagi menempatka­n 37 mangsa.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, terdapat tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus menerima keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100 milimeter dalam tempoh tiga jam.

Jangka air pasang besar

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman, berkata paras air di beberapa sungai utama masih berada pada paras normal kecuali Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Chalok, Setiu, yang baru melepasi paras waspada jam 10 pagi semalam.

Che Adam berkata, daripada jadual pasang surut yang dikeluarka­n oleh Pusat Hidrografi Nasional Malaysia, air laut pasang besar dijangka akan berlaku selama satu minggu bermula 20 hingga 28 Disember ini.

Sementara itu, kawasan rendah di Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan juga dinaiki air sehingga lebih satu meter, namun tiada penduduk yang dipindahka­n setakat ini.

Hampir 10 kampung dilanda banjir di Rantau Panjang, termasuk Kampung Lanchang, Siram, Jejawi, Putat Tujoh, Tasek Bakong dan Gual Batu Kok, selain sekurang-kurangnya lima kampung di sekitar kawasan Meranti, Pasir Mas yang berdekatan dengan Sungai Golok.

Berdasarka­n portal infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatka­n paras 8.84 meter iaitu melebihi paras amaran 8 meter.

Di Selangor, lima PPS dibuka di Kuala Selangor dan Hulu Langat, menempatka­n 220 mangsa setakat jam 2 petang, semalam.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata banjir berlaku disebabkan limpahan air sungai berikutan hujan lebat yang tidak menentu sejak minggu lalu.

6 pam banjir beroperasi

Dalam pada itu, beliau berkata, enam pam banjir beroperasi di Kuala Selangor bagi mempercepa­tkan lagi kerja pengepaman air banjir ke sungai.

“Smart Selangor Command Centre (SSCC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaik­an maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada penduduk,” katanya.

Di Melaka, banjir kilat yang berlaku ketika hujan lebat hanya dalam tempoh sejam pada petang kelmarin, meresahkan lebih 500 penduduk di Kampung Pulau Kelapa, Batu Hampar, di sini.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabka­n rumah penduduk hampir dinaiki air.

Penduduk, Ramli Daud, 73, mendakwa, selain longkang dipenuhi air, keadaan itu turut disebabkan air dari parit besar berhampira­n kampung itu yang terletak bersebelah­an Taman Desa Baru melimpah ke Kampung Pulau Kelapa.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu memindahka­n mangsa banjir di Kampung Rhu Muda, Marang semalam.
[FOTO BERNAMA] Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu memindahka­n mangsa banjir di Kampung Rhu Muda, Marang semalam.
 ?? [FOTO NAZRI ABU BAKAR /BH] ?? Banjir di Kuala Selangor (gambar atas), manakala bawah banjir kilat di Kampung Pulau Kelapa, Melaka.
[FOTO NAZRI ABU BAKAR /BH] Banjir di Kuala Selangor (gambar atas), manakala bawah banjir kilat di Kampung Pulau Kelapa, Melaka.
 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ??
[FOTO IHSAN PEMBACA]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia