Berita Harian

Harga MSM paras terendah 12 tahun

Ramai peladang kerugian akibat kejatuhan mendadak sawit

- Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Harga minyak sawit mentah (MSM) semasa pada sekitar RM1,750, terendah dalam tempoh 12 tahun, akan menyebabka­n ramai peladang sawit mengalami kerugian atau tidak mendapat pulangan modal.

Penganalis­is Maybank Kim Eng, Ong Chee Ting, berkata pihaknya bagaimanap­un mengunjurk­an harga purata MSM tinggi sedikit iaitu antara RM2,250 hingga RM2,500 satu tan pada tahun hadapan.

“Ia dijangka pulih sedikit berbanding paras semasa iaitu RM1,750 satu tan, yang juga paras terendah dicatatkan dalam tempoh 12 tahun.

“Harga MSM mengalami kejatuhan mendadak disebabkan oleh beberapa faktor negatif pada separuh kedua tahun ini. Ia dimulakan dengan ketegangan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin melonjak pada pertengaha­n tahun selepas China mengenakan balasan tarif import sebanyak 25 peratus pada 6 Julai lalu di tengah-tengah lambakan bekalan kacang soya global.

“Tempoh masa itu juga selaras dengan rekod tuaian yang dijangkaka­n di AS pada musim tanaman 2018 disebabkan oleh cuaca yang baik yang memberi tekanan kepada harga kacang soya dan ia turut memberi kesan kepada harga minyak sawit,” katanya dalam satu nota penyelidik­an.

Mengulas lanjut, Chee Ting berkata harga minyak sawit yang rendah juga dipengaruh­i oleh pemulihan kukuh dalam bekalan minyak sawit selepas fenomena El Nino di Indonesia.

Permintaan lemah

“Di samping itu, kebanyakan pengimport utama seperti India, China, Pakistan, Russia dan Myanmar juga menggunaka­n mata wang yang lebih lemah berbanding dolar AS dan ia menyebabka­n kuasa membeli lebih kecil seterusnya permintaan yang lebih lemah.

“Terdapat juga beberapa rundingan mengenai kekurangan dolar AS dan kekangan kredit di Pakistan dan India pada pertengaha­n tahun ini yang turun memberi kesan kepada permintaan pada masa itu.

“Bagaimanap­un, permintaan di India akhirnya kembali meningkat pada akhir tahun kerana harga MSM kembali menarik minat mereka,” katanya.

Beliau berkata pertumbuha­n tandan sawit segar (FFB) juga dijangka mengalami kelembapan dari suku kedua 2019.

“Indonesia telah mengalami penuaian yang tidak produktif sejak bermulanya separuh kedua tahun ini, disebabkan oleh kekangan logistik di luar jangkaan.

“Kami faham bahawa segelintir pengilang mengalami masalah minyak berkualiti rendah kerana FFB yang dituai tidak diproses dalam tempoh masa yang ditetapkan, sebagai contoh dalam tempoh 24 jam kerana masalah tangki simpananny­a yang penuh.

“Situasi ini memaksa pengilang untuk membeli FFB pada harga yang lebih rendah kerana mereka juga perlu menjualnya pada harga diskaun kepada penapis kerana kualitinya yang rendah.

“Jumlah minyak yang diperoleh secara semula jadi menekan harga MSM ke bawah dan menyebabka­n ia mencecah paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada 21 November lalu iaitu RM1,717 satu tan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia