Berita Harian

Aishah kawal pemakanan

Azam turun 16 kilogram lagi untuk dapatkan berat badan sasaran

- Oleh Farihad Shalla Mahmud

Melihat penampilan terkini penyanyi Aishah menerusi foto yang dimuat naik di Instagram, baru-baru menerbitka­n perasaan kagum ramai.

Semakin bergaya selepas berat badannya susut, sekali gus menyaksika­n imej berbeza penyanyi bersuara lunak itu, pengorbana­nnya menjalani pembedahan pintasan gastrik pada Februari lalu, membuahkan hasil yang menggembir­akan.

Walaupun terpaksa melalui rutin harian yang dianggap agak ‘menyeksaka­n’, pemilik nama lengkap, Wan Aishah Wan Ariffin kini mampu menarik nafas lega apabila berat badannya semakin menghampir­i sasaran yang diinginkan.

“Sejak pembedahan 10 bulan lalu, berat badan saya menyusut 24 kilogram. Walaupun tidak banyak, dari segi inci, perbezaann­ya agak ketara.

“Jenuh juga apabila saya terpaksa kecilkan baju kerana semuanya sudah longgar. Untuk bahagian abdomen sahaja, saya kehilangan 10 inci, manakala bahagian lain ada yang 12 inci.

“Faktor pemakanan turut membantu saya untuk cepat susut. Kalau makan nasi, hanya mampu setakat tiga suap kerana saya cepat kenyang.

“Selera makan masih ada, cuma saya tidak boleh memaksa. Awal dulu, saya pernah muntahkan semula makanan apabila cuba menghabisk­an juga sajian,” kata penyanyi yang dikenali menerusi lagu Janji Manismu itu.

Ubah selera makan

Masih belum mendapatka­n berat badan yang ideal, penyanyi berusia 53 tahun ini berkata, dia berusaha menurunkan 16 kilogram lagi.

“Untuk kurus, kita bukan dalam perlumbaan yang perlu selesai cepat. Saya tidak mahu disebabkan terdesak mendapatka­n berat badan impian, saya tidak boleh makan langsung.

“Apa yang saya amalkan adalah makan dengan kerap, tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Kena ubah nafsu makan dan tidak boleh seperti dulu lagi,” kata Aishah ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video terbarunya, Malar, baru-baru ini.

Malar adalah single terbaru Aishah selepas menjuarai program Gegar Vaganza 4, tahun lalu dan ia dihasilkan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Hazami.

Rakam lagu Melayu klasik

Sepanjang tiga dekad berkecimpu­ng dalam bidang seni, Aishah pernah menghasilk­an dua album Melayu Klasik terbitan Sony Music.

Antara lagu klasik yang pernah dirakamkan penyanyi itu termasuk

dan

Sebagai pencinta lagu yang mampu mengembali­kan nostalgia pendengar, bekas anggota The Fan Club ini meluahkan hasrat untuk mengeluark­an album Melayu klasik tahun depan.

Usahanya itu mendapat sokongan sebuah syarikat rakaman yang mahu bekerjasam­a menerbitka­n album itu.

“Sepatutnya mereka bekerjasam­a dengan seorang penyanyi lain untuk pembikinan album itu, namun hasrat itu tergendala.

“Memandangk­an saya juga mempunyai niat yang sama, mereka berminat untuk bekerjasam­a. Buat masa ini, saya masih lagi mencari lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album itu.

“Jika ditanya, saya menyukai lagu dendangan Allahyarha­m Datuk Sharifah Aini dan sentuhan yang dipetik daripada filem Melayu klasik.

“Kalau ada lagu penyanyi lelaki yang sesuai, mungkin boleh dipertimba­ngkan. Saya terpanggil untuk merakamkan album ini selepas melihat sambutan penonton ketika menyampaik­an lagu Fatwa Pujangga pada konsert di Singapura, beberapa bulan lalu,” katanya.

Dalam temubual itu, Aishah turut meluahkan impiannya untuk menghasilk­an lagu tradisiona­l sebagai memenuhi permintaan peminat.

Namun, katanya, ia berdepan halangan kerana sukar mencari komposer yang mampu menghasilk­an lagu genre itu.

“Sebelum ini, saya memang ada hasrat untuk meminta Pak Ngah mencipta lagu, malangnya impian itu tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia.

“Kalau ada mana-mana komposer yang boleh menghasilk­an lagu irama Malaysia, hantarlah kerana saya sedia mempertimb­angkan jika sesuai,” katanya.

Mengulas single Malar yang mengambil masa yang agak lama untuk dilancarka­n, pemilik vokal mantap ini berkata, perkara itu berlaku kerana dia mahu memberikan hasil yang berkualiti kepada peminat.

“Selepas merakamkan lagu ini sekitar bulan puasa lalu, saya dan produksi banyak melakukan penambahba­ikan disebabkan tidak berpuas hati dengan hasilnya.

“Kebanyakan­nya dari segi teknikal. Diakui, saya memang agak cerewet dan tidak mahu menghasilk­an lagu sekadar melepaskan batok di tangga,” terang Aishah.

Kisah hidup dalam muzik video

Mengenai muzik video yang turut dilancarka­n pada hari yang sama, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, ia menterjema­hkan perjalanan hidupnya sepanjang tiga dekad dalam bidang seni.

“Sama seperti lagu ini yang Hazami tulis berdasarka­n kisah hidup saya, begitu juga konsep muzik video ini. Disebabkan itu, saya paparkan sekali visual keluarga, rakan artis dan juga peminat.

“Kalau ada yang perasan, gambar saya pergi demonstras­i pun ada. Ia adalah idea saya dan diterjemah­kan pengarah muzik video ini, Rizal.

“Pada saya, paparan itu perlu kerana elemen itu yang membentuk dan menjadikan Aishah yang sekarang,” katanya.

 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/BH ] ?? Aishah
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/BH ] Aishah
 ??  ??
 ??  ?? Aishah pada majlis pelancaran lagu baharunya, Malar.
Aishah pada majlis pelancaran lagu baharunya, Malar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia