Berita Harian

Seni teater perlu dipupuk sejak awal pendidikan

Kurikulum wajar diubah semai minat peringkat sekolah

- Oleh Suhaila Ali bhsastera@bh.com.my

Teater adalah seni persembaha­n yang menggabung­kan tiga elemen utama, iaitu persembaha­n (lakonan), khalayak (penonton) dan ukuran nilai yang ditentukan oleh penonton, berdasarka­n tahap akademik mereka.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2012, Ismail Kassan, berkata melahirkan teater hebat perlu dimulakan dari akar umbi, bagi membentuk penggiat dan khalayak teater yang menghargai serta menjiwai seni persembaha­n teater itu.

“Apabila seni teater dipupuk dan dididik sejak awal, mudah untuk melatih minda, membentuk jati diri dalam meminati serta menghargai seni teater.

Syor ubah kurikulum

“Justeru, kurikulum pendidikan di Malaysia perlu diubah, bagi membolehka­n pembelajar­an seni persembaha­n teater diwujudkan bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga universiti,” katanya dalam Forum Canai Bahasa dan Sastera Ceritera Teater Kita: Tanda Aras Sebuah Teater Hebat di Dewan Bahasa dan Pustaka, barubaru ini.

Tambah beliau, tidak dinafikan teater yang hebat datang daripada penulis, pengarah dan pelakon yang berbakat, namun ia juga perlu seiring dengan suasana dan keadaan semasa untuk memberi lebih impak kepada penonton.

Ismail berkata, dalam membuat kritikan teater kebanyakan pengkritik lebih gemar mengangkat kelemahan berbanding kelebihan karya itu, sedangkan kedua-duanya diperlukan bagi mewujudkan keseimbang­an kritikan selain memastikan seni teater tempatan tidak dipandang rendah.

“Penggiat teater juga perlu terbuka dalam menerima idea baharu, jika tidak mahu ketinggala­n misalnya dalam penghasila­n teks.

“Hal ini kerana teater yang hebat mampu memberi impak dan nilai kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Perbincang­an kritis

Sementara itu, pengarah teater, Fasyali Fadzly, berkata seni adalah subjektif dan tidak boleh diukur, namun seni teater mampu dinilai melalui perbincang­an kritis di luar panggung.

“Penggiat teater banyak menghasilk­an persembaha­n teater berdasarka­n naskhah baharu yang seharusnya diambil serius, serta dinilai oleh penggiat seni berpengala­man. “Penilaian terhadap kualiti naskhah berkenaan perlu dibuat melalui perbincang­an kritis, oleh pengkritik teater dalam memperbaik­i dan membawanya ke satu tahap yang lebih baik,” katanya.

Fasyali berkata, pengkritik perlu bijak dan teliti dalam penilaian teater dengan menilai dari semua aspek dan tidak memilih-milih karya dalam melakukan kritikan.

“Tidak wajar mengukur kehebatan sesuatu teater melalui aspek lakonan semata-mata, malah pengkritik seharusnya menonton semua teater tanpa mengira genre supaya kritikan dapat dilakukan dengan adil,” katanya.

 ?? [FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] ?? Ismail (kanan) ketika Forum Canai Bahasa dan Sastera Ceritera Teater Kita: Tanda Aras Sebuah Teater Hebat di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.
[FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] Ismail (kanan) ketika Forum Canai Bahasa dan Sastera Ceritera Teater Kita: Tanda Aras Sebuah Teater Hebat di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia