Berita Harian

‘Adib tinggalkan kita’

Jenazah dibawa pulang ke Kedah, kebumi selepas solat Zuhur

- Oleh Nor Azizah Mokhtar dan Faris Fuad

Selepas lebih tiga minggu bertarung nyawa, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul sekumpulan perusuh di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu, menghembus­kan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam tadi.

Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mengumumka­n perkara itu selepas melawat anggota terbabit di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata, jenazah Muhammad Adib akan dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah pagi ini, untuk penghormat­an terakhir sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kedah, untuk dikebumika­n selepas solat Zuhur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluarga anggota bomba itu berada di sisi Muhammad Adib ketika arwah menghembus­kan nafas terakhirny­a.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil berkenaan.

Beliau dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Subang Jaya, pada jam 1 pagi, sebelum dipindahka­n ke IJN keesokan malamnya.

Allahyarha­m dilaporkan merancang untuk melangsung­kan perkahwina­n dengan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi, pada 21 Disember ini.

PM zahir rasa sedih

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menzahirka­n rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba itu.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetoffi­cial, beliau turut mengucapka­n takziah kepada keluarga Allahyarha­m.

“Innalillah­iwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarha­m ditempatka­n dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarha­m Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanaziza­h.

“Innalillah­i wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatka­n di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah," kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsika­n bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumka­n bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatulla­h.

“Takziah kepada keluarga Allahyarha­m dan semoga roh ditempatka­n di kalangan mereka yang beriman. Al-fatihah,” katanya menerusi laman Twitter.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirka­n rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurn­akan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah, maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikem­anusiaan ini.,” katanya.

Diselesai secepat mungkin

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Albakri, yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabka­n Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaik­an secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” katanya di laman Twitter beliau.

 ??  ??
 ??  ?? Muhammad Adib Mohd Kassim
Muhammad Adib Mohd Kassim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia