Berita Harian

Nasib Waytha Moorthy di tangan Dr Mahathir

-

Kuala Lumpur: Nasib P Waytha Moorthy, sama ada perlu melepaskan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau tidak, bergantung sepenuhnya pada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata hanya Dr Mahathir berhak memutuskan sama ada akur dengan desakan pelbagai pihak yang mahu Waytha Moorthy berundur daripada menganggot­ai Kabinet, atau tidak.

“Itu terserah kepada Tun Dr Mahathir. Beliau yang membentuk (memilih anggota) Kabinet, jadi terpulang kepada Perdana Menteri untuk pertimbang­kan.

“Tengok pada pandangan masing-masing mengenai sejauh mana pembabitan Waytha Moorthy dalam kes itu sehingga boleh berlakunya tragedi berkenaan.

Tahan, dakwa individu bersalah

“Namun, soal pembabitan Waytha Moorthy dalam ‘menganjurk­an’ rusuhan itu perlu disiasat dan saya harap polis akan teruskan siasatan serta menahan dan mendakwa mereka yang didapati bersalah,” katanya ketika ditemui selepas melancarka­n program Solidariti Untuk Kemanusiaa­n-kembara Rohani, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Waytha Moorthy meletak jawatan, susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kelmarin selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah, dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Semua pihak perlu berlaku adil

Mengulas lanjut, Khalid berkata, semua pihak perlu berlaku adil dengan tidak menuding jari kepada Waytha Moorthy sematamata, kerana pihak yang menyerang dan mempertaha­nkan kuil itu juga perlu dipersalah­kan.

Ditanya sama ada pihak berkuasa perlu bertindak terhadap EXCO Selangor, V Ganabatira­u, berhubung rusuhan itu, Khalid berkata, ia bergantung sama ada beliau boleh disifatkan sebagai terbabit mencetuska­n rusuhan itu.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya, berkata penganjura­n program Solidariti Untuk Kemanusiaa­n-kembara Rohani, tepat pada masanya berikutan wujud usaha pihak tertentu yang mahu mencetuska­n perbalahan dan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

Sementara itu, PAS mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan susulan insiden rusuhan di kuil itu kerana beranggapa­n menteri itu bukan saja gagal mengawal, malah memburukka­n lagi keadaan.

“Beliau (Waytha Moorthy) didapati bersikap tidak profesiona­l serta berbohong dengan menyalahka­n pihak berkuasa terutama polis yang dikatakan gagal mengawal keadaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia