Berita Harian

Ambil iktibar tragedi kematian Adib

-

Setelah tiga minggu ‘berjuang’ di Institut Jantung Negara dengan pemantauan rapi pasukan pakar perubatan dan doa yang tidak putus-putus dari rakyat Malaysia, takdir telah tertulis bahawa tepat detik 9.41 malam kelmarin, anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim akhirnya menghembus­kan nafas terakhir.

Pemergian Allahyarha­m ditangisi penuh duka bukan oleh sahaja ahli keluarga, tetapi juga orang ramai yang simpati dengan kejadian yang menimpa arwah.

Tragedi yang menimpa Allahyarha­m Muhammad Adib memberi iktibar yang berat dan besar pada semua pihak untuk diinsafi dan disusuli dengan tindakan yang proaktif.

Pertamanya ia menjurus kepada pemimpin khususnya menteri dan wakil rakyat untuk bertindak dengan bijak dan waras, bukannya mencetuska­n lagi ketegangan dan kemarahan.

Tindak tanduk yang dilihat berat sebelah dan kecelupara­n mulut ketika memberi kenyataan oleh beberapa pemimpin ketika rusuhan masih berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor amat mendukacit­akan. Ia ibarat mencurah minyak pada rumah yang sedang marak terbakar.

Pemimpin patut kawal emosi

Pihak berkuasa khususnya polis telah mengambil tindakan segera pada hari pertama kekecohan berlaku di lokasi untuk mengawal keadaan secara fizikal. Pemimpin sepatutnya mengawal emosi perusuh untuk segera tenang dan meletakkan kepercayaa­n kepada pihak yang bertanggun­gjawab untuk menyelesai­kan isu kuil ini.

Tetapi apabila pemimpin bertindak sebaliknya, amarah perusuh makin menggila hingga mencetuska­n kerosakan dan kemusnahan harta benda, malah lebih malang anggota bomba tidak berdosa dibelasah oleh mereka tanpa rasa bersalah. Bermula dengan isu yang hanya membabitka­n pemaju dan pengurusan kuil, akhirnya mencetuska­n sensitivit­i perkauman dan agama pula.

Iktibar kedua kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan rumah ibadat. PBT perlu membuat semakan atau bancian mengenai status rumah ibadat dalam kawasan mereka.

Penulis memuji langkah segera kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 November lalu, iaitu menjadikan syarat rumah ibadat baharu seperti masjid, kuil atau gereja tidak boleh dibina tanpa kebenaran PBT.

Dr Mahathir menjelaska­n ada rumah ibadat dibina tanpa mengambil kira pemiliki tanah dan apabila pemiliknya mahu menggunaka­n tanah berkenaan, akan timbul masalah.

Justeru, dengan pemantauan awal melalui kelulusan PBT, ini akan menghalang pembinaan rumah ibadat haram dan tidak terkawal. PBT perlu bertegas dalam hal ini dan pihak pengurusan agama juga perlu mengambil tanggungja­wab untuk mengelakka­n masalah pada masa hadapan.

Redakan ketegangan

Iktibar terakhir ialah rakyat Malaysia perlu peka dan memahami peranan dan tugas setiap anggota berpakaian seragam seperti polis, bomba dan tentera. Keberadaan mereka di lokasi sesuatu kejadian bukannya untuk menimbulka­n masalah tetapi untuk mengawal, meredakan dan menyelesai­kan dalam kemampuan dan peruntukan undang-undang.

Jika kita tidak dapat menghormat­i dan menghargai keberadaan mereka yang meletakkan kepentinga­n insan lain melebihi diri dan nyawa mereka sendiri atas nama tugas dan lencana yang tersemat di dada, kitalah rakyat malang dan mementingk­an diri.

Pantai mana tidak dipukul ombak, laut mana yang tidak bergelora. Begitulah Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali dunia atas keharmonia­n rakyatnya yang majmuk, tetap sekali-sekala pasti teruji dengan gelora atas punca yang pelbagai.

Biar apa yang terjadi, berpegang kuat pada Rukun Negara dan sejarah negara ini, pastinya segala kesulitan dapat kita tempuhi bersama. Semoga roh Allahyarha­m Muhammad Adib ditempatka­n dalam kalangan orang yang beriman. Al-fatihah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia