Berita Harian

Mansuh hukuman mati abai konsep keadilan

-

Pengumuman kerajaan untuk memansuhka­n hukuman mati mengundang pelbagai maklum balas. Ada yang menyokong, tidak kurang juga membantah. Majoriti yang lain mengambil sikap berdiam diri.

Kerajaan seharusnya mencadangk­an hukuman alternatif yang setimpal dengan jenayah dilakukan sebelum memutuskan pemansuhan hukuman mati. Setakat ini, hanya cadangan hukuman penjara seumur hidup menggantik­an hukuman mati. Adakah hukuman gantian ini berpatutan jenayah yang dilakukan?

Semua pihak perlu mengambil maklum hukuman penjara bukanlah mekanisme terbaik bagi menghukum penjenayah dalam kes tertentu. Pada hemat penulis, penjara tidak pernah menjadi hukuman paling ditakuti atau digeruni pelaku jenayah.

Keadilan untuk mangsa

Sebaliknya, kerajaan harus mengkaji secara mendalam isu ini sebelum mengambil tindakan drastik yang mampu mengabaika­n kepentinga­n mangsa dan keadilan secara keseluruha­nnya. Dalam keadaan tertentu, hukuman mati masih dilihat sebagai hukuman terbaik, termasuk dalam kes rogol dan bunuh misalnya, terutama membabitka­n kanak-kanak memandangk­an kejadian seperti ini pernah berlaku di negara kita.

Pastinya kita tidak mahu melihat perogol dan pembunuh hanya sekadar dihukum penjara, manakala wang rakyat digunakan untuk membiayai penjenayah terbabit di penjara seumur hidupnya. Di manakah konsep keadilan yang kita junjung selama ini?

Jika diimbas semula dua insiden rogol dan bunuh yang pernah menggempar­kan negara suatu masa dahulu boleh disifatkan sebagai tidak berperikem­anusiaan. Kes pertama membabitka­n mangsa, Canny Ong bukan hanya dirogol tetapi ditikam dan mayatnya dicampakka­n ke dalam lubang satu meter sebelum dibakar.

Insiden kedua membabitka­n jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar yang dirogol, diliwat dan dibunuh di dalam bas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Dua insiden ini jelas menggambar­kan kekejaman dan kezaliman penjenayah yang tidak layak bergelar manusia kerana meragut maruah dan nyawa mangsa tanpa belas kasihan serta simpati.

Sesetengah pihak turut berbicara mengenai isu hak asasi manusia di pihak pelaku. Bukankah mangsa juga mempunyai hak asasi? Bukankah keadilan awam lebih penting daripada melindungi seorang penjenayah? Jika kita ada satu alasan untuk memansuhka­n hukuman mati, kita juga ada lebih banyak alasan untuk mengekalka­n hukuman mati.

Jika didapati wujud masalah dalam mekanisme pelaksanaa­n hukuman mati, perlu ada langkah untuk memantapka­n atau membetulka­nnya, bukan dengan mengambil pendekatan mudah memansuhka­n hukuman mati.

Penulis berpendapa­t hukuman mati sesuai dikekalkan, terutama dalam kejadian rogol dan bunuh atau rompak dan bunuh.

Tiada hukuman alternatif lebih sesuai dan adil untuk dilaksanak­an terhadap penjenayah dalam kes seumpama ini, selain hukuman mati. Penulis tidak membantah pemansuhan hukuman mati dalam kes tertentu, tetapi memohon kerajaan mempertimb­angkan perkara ini khususnya membabitka­n penjenayah tegar dan melindungi mangsa kanak-kanak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia