Berita Harian

Spekulasi bekas pemimpin UMNO sertai BERSATU

-

Kota Kinabalu: Spekulasi bertiup kencang kumpulan bekas pemimpin UMNO Sabah bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), apabila difahamkan satu pertemuan dalam kalangan mereka, di sini, kelmarin.

Sumber NSTP memaklumka­n, pertemuan dalam kalangan beberapa bekas pemimpin UMNO Sabah di sebuah hotel di ibu negeri itu turut disertai bekas Pengerusi Perhubunga­n UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pertemuan itu dikatakan membincang­kan pelbagai isu, termasuk berkaitan dengan penyertaan mereka dalam BERSATU, yang dikatakan akan direalisas­ikan sebelum akhir tahun ini.

Beberapa keping gambar pengagihan borang keahlian parti dalam kalangan bekas pemimpin UMNO itu, turut tersebar menerusi media sosial dan aplikasi Whatsapp, kelmarin.

Bagaimanap­un, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun ketika dihubungi NSTP, semalam, berkata ia hanya pertemuan biasa.

“Kami belum menyertai BERSATU dan kami semua masih berstatus wakil rakyat Bebas,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Mengenai gambar yang menjadi tular menunjukka­n Hajiji bersama ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih memegang borang keahlian BERSATU, Masidi berkata, ia hanya ‘sekadar gambar’.

Isytihar ahli politik Bebas

Pada 12 Disember lalu, Hajiji bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalk­an UMNO dan mengisytih­arkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan ADUN, iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Isnin (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Masidi (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Yang turut sama, empat Ahli Parlimen, iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Mereka juga menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat permintaan untuk parti itu melebarkan sayap ke Sabah susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan UMNO negeri ini bertindak keluar parti.

Bagaimanap­un, Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking, berkata parti itu yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin kekal berpegang dengan janji mereka untuk tidak membawa masuk BERSATU ke Sabah seperti dipersetuj­ui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia