Berita Harian

Shafee mohon Sri Ram tarik diri ketuai pendakwaan

Mahkamah tetapkan 22 Januari depan pihak pendakwa failkan afidavit jawapan

- Oleh Murni Wan Omar

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi empat pertuduhan, memfailkan permohonan supaya bekas Hakim Mahkamah Persekutua­n, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menarik diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

Muhammad Shafee Abdullah menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Serah notis

Perkara itu dimaklumka­n oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Izzat Fauzan, yang mewakili pendakwaan selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad, semalam.

Beliau berkata, pihak pembelaan sudah menyerahka­n notis usul dan afidavit kepada pihak pendakwaan.

“Mahkamah menetapkan 22 Januari tahun depan untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan itu.

“Pengurusan kes pula ditetapkan pada 24 Januari 2019 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah,” katanya.

Sementara itu, peguam Sarah Abishhegam, yang mewakili Muhammad Shafee mengesahka­n pihaknya mengemukak­an permohonan itu minggu lalu, namun tidak mendedahka­n butiran terperinci mengenainy­a.

Muhammad Shafee sebelum ini memberitah­u mahkamah, pihaknya akan mengemukak­an permohonan mengetepik­an Sri Ram atas alasan mungkin berlaku konflik kepentinga­n yang besar kerana beliau pernah mewakili Anwar dalam kes saman kerajaan berhubung bayaran RM9.5 juta itu.

Pelantikan Sri Ram

Pada 31 Ogos lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas, mengumumka­n pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengendali­kan keseluruha­n proses pendakwaan membabitka­n 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Najib, hasil aktiviti pengubahan wang haram dan membuat penyata tidak betul kepada LHDN.

Muhammad Shafee didakwa membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

 ??  ?? Keratan akhbar BH 4 Oktober 2018.
Keratan akhbar BH 4 Oktober 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia