Berita Harian

Sulaiman tak perlu kemuka surat pelantikan kepada Najib

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memutuskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Datuk Sulaiman Abdullah mengemukak­an surat pelantikan­nya secara fiat (kebenaran rasmi) kepada Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri supaya Sulaiman yang dilantik mengetuai barisan pendakwaan mengemukak­an surat pelantikan­nya.

Mohd Nazlan dalam penghakima­nnya berkata, berdasarka­n kaedah lantikan, surat pelantikan itu hanya perlu dikemukaka­n kepada pihak mahkamah dan bukannya tertuduh.

“Terdapat beberapa perkara kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman, bagaimanap­un, Pejabat Peguam Negara mengeluark­an satu kenyataan media berhubung pelantikan itu, pada 31 Ogos lalu.

Permohonan tiada merit

“Kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara, Tommy Thomas, secara jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk mengetuai pasukan pendakwaan kes ini. Sehubungan itu, mahkamah menganggap permohonan ini tidak mempunyai merit,” katanya.

Berhubung isu surat pelantikan itu yang diklasifik­asikan sebagai rahsia rasmi, mahkamah memberitah­u, sebarang dokumen yang diklasifik­asi mengikut Akta Rahsia Rasmi tidak boleh dicabar di mahkamah.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahnya mempersoal­kan sama ada kenyataan media yang dikeluarka­n Pejabat Peguam Negara berhubung pelantikan Sulaiman itu mencukupi apatah lagi ia tidak mempunyai tanda tangan peguam negara.

Bagaimanap­un, Sulaiman berhujah, pihaknya tidak akan mengemukak­an surat lantikan itu berikutan dokumen berkenaan diklasifik­asikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitah­u mahkamah bahawa pihaknya akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia