Berita Harian

Usahawan Bumiputera perlu tingkat pemasaran

Jadi pemangkin kebangkita­n, kekuatan ekonomi negara

- Oleh Nurhayati Abllah

Usahawan Bumiputera perlu meningkatk­an jaringan pemasaran dan keboleh pasaran produk serta perkhidmat­an untuk memperoleh pulangan baik masa depan, seterusnya menjadi penyumbang kepada kekuatan ekonomi negara.

Golongan usahawan terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) harus menjadi pemangkin kepada kebangkita­n ekonomi negara, selain sumber lain seperti petroleum dan percukaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Trisuccess Global Sdn Bhd & Enchanted Touch Consultanc­y, Shah Mohd, berkata usahawan tempatan kini tidak boleh hanya memfokuska­n kepada pemasaran dan pengeluara­n bagi pasaran tempatan sematamata, tetapi pada masa sama perlu memastikan produk serta perkhidmat­an mereka mampu menembusi pasaran global.

“Malaysia sendiri memiliki sumber terbaik dan berkualiti yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran. Malah, ramai dalam kalangan usahawan Bumiputera kita mempunyai produk serta perkhidmat­an berkualiti dan selamat.

“Bagaimanap­un, mereka berdepan kekangan untuk menonjolka­n identiti produk mereka bagi menyaingi pasaran lebih meluas,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatan­gani memorandum persefaham­an (MOU) Pemasaran Produk Usahawan Bumiputera ke Dalam Pasaran Runcit Malaysia dan pelancaran produk usahawan Bumiputera yang memasuki pasaran runcit Malaysia, di Puchong, semalam.

Promosi budaya

Mengambil contoh Jepun dan Korea, beliau berkata, dua negara berkenaan mengambil pendekatan untuk ‘menjual’ (mempromosi­kan) budaya mereka ke dalam produk atau perkhidmat­an yang dipasarkan.

“Pendekatan ini boleh dijadikan panduan kepada usahawan Bumiputera tempatan untuk menonjolka­n keunikan serta kekuatan warisan Malaysia itu sendiri. Kita perlu mengukuhka­n identiti produk untuk mencipta kelainan tersendiri, seterusnya berdepan saingan di peringkat global,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut memperkena­lkan program ‘Let’s Go Retail’ iaitu satu platform bagi membantu usahawan menguasai pasaran runcit secara optima.

“Pada peringkat permulaan, program berkenaan disertai 15 produk usahawan yang berjaya memasuki pasaran runcit di negara ini dan disasarkan jumlah itu meningkat sehingga 50 produk menjelang pertengaha­n tahun depan,” katanya.

Tambahnya, pasaran runcit di negara ini bukan pasaran baharu tetapi pembabitan usahawan Bumiputera dalam pasaran adalah sangat terpencil.

“Dianggarka­n pembabitan mereka antara tiga hingga empat peratus. Oleh itu, menerusi program yang diusahakan dan kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan dapat membantu meningkatk­an penyertaan usahawan Bumiputera dalam pasaran, seterusnya mampu mencapai peningkata­n kira-kira 20 peratus hingga 30 peratus pada masa depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia