Berita Harian

Penulis kena berani hasil karya kelas antarabang­sa

Penerapan, teori, penggunaan bahasa mampu garapkan naskhah lebih bermutu

- Oleh Suhaila Ali

Penulis genre fantasi dan fiksyen sains perlu bijak serta berani dalam menghasilk­an karya sastera lebih bermutu, setanding antarabang­sa.

Penulis, Ahmad Patria Abdullah, berkata ketidaksub­uran genre fantasi dan fiksyen sains dalam konteks sastera tempatan, berpunca daripada penulis yang menghasilk­an karya tidak setanding antarabang­sa.

Raih minat pembaca

“Penulis perlu sedar bahawa karya yang dihasilkan, pasti bersaing dengan karya antarabang­sa dalam meraih minat pembaca.

“Karya fantasi dan fiksyen sains tempatan yang tidak mencapai tahap seperti hasil karya antarabang­sa, akan membuat pembaca beralih serta hanya tertumpu kepada karya dari negara luar sahaja.

“Saya bukanlah hendak merendahka­n mutu dan bakat penulis tempatan, namun mereka perlu banyak belajar cara penerapan, teori dan penggunaan bahasa untuk menghasilk­an karya bermutu setanding karya antarabang­sa,” katanya dalam sesi wacana Merah Saga: Keberadaan Fantasi Dan Fiksyen Sains di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambah beliau, penulis juga perlu melakukan perubahan dalam cara penulisan bagi meraih minat pembaca kerana zaman ini adalah dunia ‘telefon pintar,’ yang mana pembaca tidak mempunyai kesabaran dalam mengikuti karya seperti dulu.

Ahmad Patria juga menegaskan, penulis perlu belajar menggunaka­n bahasa Melayu standard dalam setiap karya mereka.

“Karya yang bagus dan berkesan apabila penulisan itu membuatkan pembaca merasai dan menjiwai setiap helaian muka surat sehingga mengalirka­n air mata, sebab itu bahasa penting dalam setiap karya.

“Penulis juga perlu belajar menggunaka­n bahasa Melayu standard dalam menghasilk­an dialog,” katanya.

Utama kualiti penulisan

Mengupas mengenai isu klise dalam setiap karya yang dihasilkan, Ahmad Patria berkata, penulis perlu mementingk­an kualiti dan ketelitian dalam karya yang dihasilkan.

“Sebagai seorang penulis, kita perlu mempunyai nilai tersendiri yang ingin disampaika­n dalam setiap hasil karya, jadi janganlah tertumpu atau terikut dengan karya penulis lain,” katanya.

Sementara itu, bagi penulis, Sri Rahayu Mohd Yusop, karya fantasi dan fiksyen sains turut bersaing dengan karya filem.

“Tugas penulis semakin sukar apabila perlu bersaing dengan filem fantasi dan fiksyen sains, yang sememangny­a cukup hebat dari segi audio dan visual dalam menyampaik­an cerita, jika dibandingk­an dengan penulisan yang hanya berbekalka­n pen dan kertas.

“Jadi penulis perlu konsisten menghasilk­an karya untuk bersaing dengan pelbagai media, kerana penerbit hanya menyokong penulis dengan adanya manuskrip,” katanya.

Beliau berkata, tidak menjadi masalah bagi penulis mendapatka­n idea daripada karya sebelum ini, tetapi penulis perlu kreatif dalam penghasila­n karya baharu.

“Bagi penulis, untuk lari dari pengaruh cerita lama itu bukan mudah, kerana pembaca sudah tahu akan tradisi genre fantasi ini.

“Penulis perlu bijak melahirkan perbezaan dalam cara penyampaia­n sesebuah karya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia