Berita Harian

UMNO berkubur angkara pemimpin khianat, tak jujur

-

Kepemimpin­an UMNO menarik perhatian ramai apabila sebahagian Ahli Parlimen parti bertindak keluar meninggalk­annya. Pelbagai alasan diberi Ahli Parlimen terbabit, termasuk mendakwa kepemimpin­an Presidenny­a, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini semakin lemah.

Ahmad Zahid dikatakan gagal menyelesai­kan banyak masalah, terutama menentukan hala tuju parti UMNO bagi menggalakk­an ahlinya bangkit semula membela nasib masyarakat Melayu Islam. Ada juga suara dari dalam dan luar parti meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan berikutan kegagalann­ya itu.

Memang kita harus mengakui kepemimpin­an UMNO masa kini semakin lemah sehingga menyebabka­n parti berkenaan tewas banyak kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Kelemahan mutlak

Kekalahan itu bukan disebabkan kelemahan mutlak kepemimpin­an UMNO, sebaliknya kegagalan pemimpin Barisan Nasional (BN) menyekat berita palsu dan fitnah yang dilakukan parti lawan dengan berkesan.

Sebelum PRU-14, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN ketika itu, Datuk Seri Najib Razak cuba memperbaik­i kelemahan pentadbira­n kerajaan. Pelbagai tohmahan terhadap Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diperbesar­kan melalui media sosial, tetapi mereka lebih suka mengambil sikap mendiamkan diri dengan mengharapk­an rakyat sendiri boleh menilai kebenarann­ya.

Sikap sedemikian sebenarnya memberi ruang kepada pakatan pembangkan­g untuk menyebarlu­askan isu berkenaan sehingga ramai anak muda yang percaya dengannya. Imej Najib dan kepemimpin­an BN teruk tercalar dan terjejas pada mata rakyat sehingga pengundi Cina dan India menolak BN dalam PRU-14 dengan disokong kuat golongan muda pelbagai kaum.

Rekod cemerlang

Untuk memandang ke depan, kita perlu meneliti sejarah. Sejarah UMNO memimpin negara sebagai pemerintah selama 61 tahun menunjukka­n bukti bahawa parti berkenaan mampu melaksanak­an tugas dengan baik hasil sokongan akar umbinya.

Ketokohan calon, rekod cemerlang BN ketika memerintah, kesetiaan ahli kepada parti UMNOBN, kekuatan jentera parti berkempen dan kedudukan kewangan mantap parti membiayai kos kempen menyumbang ke arah kejayaan itu.

Ahli UMNO tidak perlu berasa gusar dengan kejadian malang ini kerana mereka masih mempunyai kekuatan akar umbi berjumlah lebih tiga juta ahli. Pemimpin boleh datang dan pergi, namun UMNO tetap berdiri teguh.

Kepemimpin­an parti boleh diambil alih golongan bijak pandai dan tokoh profesiona­l yang lebih baik dan berwibawa. Apa guna menjadi seorang pemimpin hebat suatu ketika dahulu dalam UMNO, tetapi tidak mempunyai sikap jujur, amanah, bertimbang rasa dan setia kepada parti dan bangsa Melayu.

Pemimpin sibuk

Ahli UMNO hanya dituntut bersabar selama lima tahun untuk kembali berkuasa dengan syarat mereka berusaha merapatkan semula hubungan pemimpin UMNO dengan rakyat setempat.

Ketika Ahli Parlimen UMNO menjadi menteri dan timbalan menteri, mereka dikatakan sentiasa sibuk menjalanka­n tugas di Putrajaya sehingga nasib rakyat yang mengundi mereka terabai. Mereka jarang balik ke kawasan masing-masing kerana dikatakan sibuk dengan tugas.

Selama ini wakil rakyat terbabit hanya percaya dengan laporan wakil mereka di kawasan masingmasi­ng mengenai keadaan serta nasib pengundi.

Sekiranya masa berkenaan dimanfaatk­an ketika ini, banyak masalah mereka dapat diatasi dan saya yakin kepercayaa­n orang ramai kepada BN akan kembali pulih menjelang Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU-15) nanti.

Azmi Abdul Malek Ipoh

 ?? [FOTO HIASAN] ?? UMNO perlukan sokongan akar umbi kembali pulih menjelang PRU-15.
[FOTO HIASAN] UMNO perlukan sokongan akar umbi kembali pulih menjelang PRU-15.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia