Berita Harian

Imej Suu Kyi makin tercemar

Korea Selatan bakal tarik balik anugerah ke atas pemimpin Yangon

-

Satu daripada kumpulan hak asasi manusia terbesar Korea Selatan bakal menarik semula anugerah yang diberi kepada ketua de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi pada 2014 susulan pendirian beliau terhadap kekejaman dilakukan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Suu Kyi ketika itu tidak dapat menerima anugerah hak asasi manusia Gwangju kerana berada di bawah tekanan yang dikenakan junta tentera.

Parti pimpinan beliau bagaimanap­un mengambil alih tampuk pemerintah­an dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu memegang gelaran kaunselor negeri namun kini Suu Kyi dikecam hebat kerana tidak mengambil sebarang tindakan membela nasib etnik minoriti Rohingya.

Beri amaran

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa etnik Islam di Myanmar itu berterusan menjadi sasaran penghapusa­n etnik oleh tentera Myanmar.

“Pendirian Suu Kyi terhadap kekejaman dilakukan ke atas etnik Rohingya bercanggah dengan anugerah diterimany­a iaitu melindungi dan mempromosi­kan hak asasi manusia,“kata jurucakap Yayasan Memorial 18, Cho Jin Tae.

Sebagai akibat, lembaga pengarah yayasan itu memutuskan untuk menarik semula anugerah berkenaan, kata Jin Tae.

Yayasan Memorial 18 ditubuhkan pada 1994 sebagai memperinga­ti penentanga­n golongan pro demokrasi pada 1980 di Gwang ju yang berakhir dengan pertumpaha­n darah oleh pasukan undang-undang tentera, membabitka­n lebih 200 mangsa.

Penentanga­n terhadap pemerintah kuku besi, Chun Doo Hwan itu memberi inspirasi kepada tunjuk perasaan oleh golongan pro demokrasi yang membawa kepada pelaksanaa­n semula sistem demokrasi tujuh tahun kemudian.

Bulan lalu, Amnesty Antarabang­sa menarik semula anugerah berprestij Duta Hati Nurani yang diberikan kepada Suu Kyi, memetik pendirian beliau dalam kekejaman terhadap etnik Rohingya sebagai faktor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia