Berita Harian

Jeffery puas hati prestasi anak buah

- Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jurulatih renang negara, Jeffery Ho berpuas hati dengan prestasi yang ditampilka­n anak buahnya pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Myanmar selepas berjaya melepasi sasaran lima pingat emas.

Menurutnya, semua perenang berjaya memberikan persembaha­n terpuji walaupun baru saja memulakan latihan selepas cuti akhir musim.

“Catatan masa yang mereka lakukan juga sama seperti yang kita jangkakan, memang ia bukan catatan peribadi terbaik tapi ia sangat hampir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, antara yang paling cemerlang ketika di temasya berkenaan ialah perenang Olimpik, Welson Sim selepas memecah rekod kebangsaan 100 meter (m) gaya bebas.

“Welson juga berjaya memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400m. Perenang lain seperti Tern Jian Han, Keith Lim, Chan Jie, Tia’a Faang Der dan Foong Wei Tze berjaya memberi persembaha­n memuaskan.

“Prestasi mereka bukannya mencapai tahap catatan peribadi terbaik tapi berada di landasan tepat dan kejohanan ini menjadi ukuran di mana tahap mereka sekarang," katanya.

Indonesia terbaik

Welson berjaya meleburkan rekod lama Daniel Bego dalam acara 100m 50.16s (Sukan SEA Laos 2009) dengan mencatat masa 50.03 saat (s), manakala rekod temasya untuk 400m pula dia merakam masa 3:55.02s, meleburkan catatan 3:56.01s milik perenang Singapura, Pang Sheng Jun (AUG 2016).

Keseluruha­n Welson mengumpul lima emas di kejohanan ini termasuk membantu kuartet 4◊200 meter rampaian dan 4x100 gaya bebas muncul juara.

“Selepas ini mereka akan meneruskan latihan seperti biasa dan hanya diberikan pelepasan ketika sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu. Mereka akan melakukan persiapan untuk Kejohanan Kebangsaan Peringkat Umur pada Mac 2019,” kata Jeffery.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyasarka­n lima emas namun keseluruha­n perenang negara berjaya meraih lapan emas, selain membawa pulang tujuh perak dan 11 gangsa.

Aksi di AUG 2018 ini juga berjaya mengatasi prestasi dua tahun lalu di Singapura selepas perenang negara sekadar meraih lima emas.

Indonesia muncul pasukan terbaik selepas meraih 26 emas, 15 perak dan 11 gangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia