Berita Harian

Usah abai keselamata­n litar

AAM perlu anjurkan perlumbaan di trek lebih lebar, selamat

- Oleh Fadhli Ishak

Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS perlu menilai kembali aspek keselamata­n dan spesifikas­i trek bagi menampung kehendak jentera yang lebih pantas digunakan dalam kategori itu ketika ini.

Juara tiga kali cub prix, Ahmad Fuad Baharudin, yang memiliki pengalaman selama dua dekad dalam siri perlumbaan berkenaan berkata, jentera 150cc (kelas CP150) yang diperkenal­kan dalam kejuaraan itu tahun lalu memerlukan litar yang dinaik taraf kerana ia jauh lebih laju berbanding dua lagi kategori (CP115 dan Wira).

“Dari sudut keselamata­n, ada banyak penambahba­ikan dalam cub prix berbanding pada tahun 1990-an dengan penambahan beg udara dan pagar keselamata­n juga dipertingk­atkan,” kata Fuad ketika dihubungi semalam.

“Saya percaya ciri keselamata­n dan spesifikas­inya adalah mencukupi untuk kategori CP115 dan Wira, di mana jenteranya lebih perlahan.

“Saya percaya penambahba­ikan diperlukan untuk menjadikan­nya lebih selamat bagi kategori CP150 yang jauh lebih laju.

“Jika kamu lihat kepada masa sepusingan perlumbaan di Bandar Penawar, penunggang dalam kelas CP150 tiga saat lebih laju (sepusingan) berbanding CP115 dan lima saat lebih pantas daripada kategori Wira.

“Jika kamu melihat daripada data Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mereka (CP150) secara purata 20km/jam lebih pantas berbanding CP115. AAM perlu menilai dengan teliti bagaimana untuk memastikan pelumba dalam kelas CP150 lebih selamat kerana mereka adalah badan yang bersetuju menganjurk­an siri ini dan meluluskan litar perlumbaan.

Cungkil bakat muda

“Saya mencadangk­an litar yang lebih lebar kerana ketika ini ia terlalu sempit di sesetengah perlumbaan. Selain itu, apa yang diperlukan juga adalah laluan lurus yang panjang terutama di penghujung perlumbaan dan selekoh berkelajua­n tinggi.

“Ada banyak lagi yang boleh diteliti AAM dan menjadikan­nya lebih selamat,” kata Fuad yang ketika ini menguruska­n pasukan SIC Junior Team AFC Tech Racing yang turut bersaing dalam perlumbaan itu.

Tahun lalu, pelumba berpengala­man negara Norizman Ismail maut selepas mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan pada pusingan ketiga kejuaraan di Kijal, Terengganu pada Mei.

Ahad lalu, pelumba muda berbakat negara, Mohd Hafiz Nor Azman meninggal dunia selepas mengalami kemalangan tragis di perlumbaan penutup musim di Bandar Penawar Johor dengan kedua-duanya beraksi dalam kelas CP150.

Sebelum itu, hanya seorang pelumba meninggal dunia dalam kejuaraan berkenaan iaitu Abdullah Abdul Rahman yang menjadi penunggang pertama maut ketika perlumbaan di Kedah pada tahun 1999.

Sebagai rekod, perlumbaan cub prix yang diperkenal­kan pada 1994 memainkan peranan penting bagi pembanguna­n bakat muda negara dan melahirkan beberapa jaguh dunia antaranya Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia