Berita Harian

Kelantan rai 103 atlet cemerlang

- Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seramai 103 atlet yang meraih pingat dalam pelbagai temasya sukan tempatan dan antarabang­sa sepanjang tahun lalu dan tahun ini menerima insentif yang disampaika­n oleh kerajaan negeri, semalam.

Mereka adalah atlet yang cemerlang dalam Sukan Asia Jakarta 2018, Sukan Para Asia Jakarta 2018, Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, SUKMA Para Perak 2018 dan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata pemberian insentif itu adalah pengiktira­fan dan penghargaa­n kerajaan negeri kepada atlet negeri ini yang beraksi cemerlang dalam sukan diceburi di dalam dan luar negara.

Harap lebih cemerlang

"Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak dan remaja untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan yang berjaya.

“Saya mengucapka­n syabas dan tahniah kepada semua atlet yang berjaya membuktika­n kehebatan dan kecemerlan­gan masing-masing,” katanya ketika berucap di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad dan Pengerusi Jawatankua­sa Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan bekerjasam­a dengan Kementeria­n Belia dan Sukan untuk memastikan prasarana sukan di negeri ini dapat dipertingk­atkan pada masa akan datang.

“Kita berharap akan dapat melahirkan lebih ramai atlet cemerlang dari negeri ini,” katanya.

 ?? [FOTO ZAMANHURI ISA/BH] ?? Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra dengan atlet Kelantan, di Kota Bharu, semalam.
[FOTO ZAMANHURI ISA/BH] Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra dengan atlet Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia