Berita Harian

Langkah pencegahan perlu kajian teliti

-

Luar biasa dan tidak pernah terjadi di Malaysia. Itu maklumat pertama diperoleh penulis ketika dimaklumka­n mengenai situasi membelengg­u penduduk Kota Belud, di Sabah yang sudah tidak mampu lagi menanggung kesan bencana banjir.

Sebelum tiga tahun lalu, banjir di daerah itu sama seperti daerah lain di negara ini, tetapi ia kemudian seakan-akan ‘perkara wajib’ yang perlu ditempuhi sebahagian besar daripada 90,000 penduduk Kota Belud.

Daripada maklumat awal, hampir 100 kali banjir perlu dihadapi penduduk Kota Belud sejak 2015. Jadi bayangkan kesengsara­an dan keresahan masyarakat­nya, sedangkan banjir sekali setahun pun sudah membuatkan hidup ‘semak’ dengan pelbagai masalah.

Ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, Ir Yahiya Awang Kahar yang mendedahka­n sepanjang 2017 sahaja, 85 kali banjir direkodkan dengan 4,382 penduduk dipindahka­n.

Namun tahun ini, penduduk Kota Belud ‘bernasib baik’ kerana hujan di kawasan itu tidak sekerap tahun-tahun sebelumnya walaupun mereka tidak mampu menarik nafas lega selagi masalah utama tidak dapat diatasi.

Penulis lebih memberi tumpuan kepada nasib penduduk Kota Belud yang rata-ratanya bukan orang senang kerana menurut maklumat, majoriti hanya bertani, namun ada yang terpaksa pula meninggalk­an pekerjaan itu kerana tanah tidak lagi dapat diusahakan.

Jika isu ini tiada kesudahan atau terus gagal ditangani, bayangkan keresahan penduduk setiap kali hujan lebat.

Seorang penduduk yang ditemui memaklumka­n dia akan berjaga-jaga di pekarangan rumah melihat peningkata­n paras air sekiranya hujan pada waktu malam. Apa tidaknya, rumahnya tiga kali ditengelam­i banjir pada 2017.

Penulis juga memperoleh maklumat mengejutka­n daripada Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) yang mengesahka­n jumlah gempa bumi susulan di sekitar Gunung Kinabalu sudah mencecah 905 kali sejak gempa besar pada 5 Jun 2015.

Pengesahan berkenaan menafikan jumlah awal yang diketahui beberapa pihak berkepenti­ngan di Sabah serta agensi awam Persekutua­n yang mendakwa hanya sekitar 200 gempa susulan berlaku.

Penulis juga dimaklumka­n, jumlah sebenar gempa bumi itu tidak didedahkan kepada umum kerana kebanyakan hanya pada magnitud lemah kurang 2.5 dengan intensiti I mengikut Modified Mercalli Scale.

Kesan terhadap gunung

Gempa itu tidak dapat dirasai penduduk sekitar, tetapi boleh direkodkan melalui mesin seismograf, namun apa yang perlu diketahui ialah impaknya terhadap kepada Gunung Kinabalu itu sendiri.

Puncak tertinggi Asia Tenggara itu yang dahulunya gah menghijau permukaann­ya, tidak hairanlah kini sudah ‘longgar’ dan semakin gondol akibat kekerapan runtuhan sejak tiga tahun lalu. Jika tidak percaya, lihat sendiri melalui pandangan satelit di Google Maps.

Ada yang menganggap isu runtuhan Gunung Kinabalu perkara biasa dan tidak memudaratk­an kerana berlaku jauh di tanah tinggi yang tidak diduduki manusia, namun sebenarnya tanggapan itu silap.

Yang menanggung beban adalah penduduk di kawasan penempatan yang berada di bawah gunung itu seperti yang menimpa Kota Belud.

Sisa runtuhan gunung memasuki sungai yang berselirat di kawasan puncak, seterusnya dibawa turun sehingga ke lembangan Sungai Kadamaian yang di sekitarnya menempatka­n lebih 90,000 penduduk.

Kota Belud terbentuk di atas tanah rata dan berada di antara kawasan gunung dan laut. Apabila runtuhan memasuki Sungai Kadamaian, ia akan berhenti di kawasan lebih rendah, iaitu Kota Belud, mulai mendap dan sukar untuk terus mengalir ke laut.

Air melimpah

Situasi itu turut mengakibat­kan Sungai Kadamaian tersumbat, dipercayai sehingga 95 peratus dan mengubah morfologi sungai dengan begitu dahsyat. Ia tidak lagi menampung air hujan, sebaliknya melimpahka­n air ke kawasan penduduk.

Penulis mendapat maklumat bahawa Kerajaan Persekutua­n memandang serius bencana di Kota Belud yang disifatkan fenomena luar biasa, pertama seumpamany­a di Malaysia. Perbincang­an mencari penyelesai­an sudah diadakan di Kota Kinabalu.

Bagi Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, isu di Kota Belud kes begitu unik dan pertama kali terjadi, sekali gus memerlukan tindakan dan pelaksanaa­n langkah pencegahan yang rapi melalui kajian mendalam.

Katanya, sekalipun kerajaan memperuntu­kkan RM200 juta pun, ia tidak menyelesai­kan masalah kerana 10 juta meter padu sisa runtuhan Gunung Kinabalu sudah mendap dalam Sungai Kadamaian. Jika dikorek dan dibuang, runtuhan baharu pula bakal menyusul.

Kerajaan sudah meluluskan peruntukan RM340 juta dan beberapa kementeria­n serta agensi akan digerakkan bekerjasam­a, bukan sahaja menyelesai­kan isu banjir, tetapi juga nasib 200 hektar sawah tidak dapat diiusahaka­n, selain masalah hakisan tanah penduduk.

Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentung­an) Kementeria­n Air, Tanah dan Sumber Asli, Azizah Ariffin turut memberi jaminan kerajaan akan melaksanak­an inisiatif pengurusan sumber air negara khusus buat daerah Kota Belud.

Namun, adakah penyelesai­an serta jaminan oleh kerajaan akan melegakan penduduk Kota Belud kerana hujan akan sentiasa ada dan gempa bumi susulan masih berlaku?

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia