Kanak-kanak terperangkap dalam kabin rentung terbakar
Georgetown: Seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran sebuah kabin di Kampung Jawa, Bayan Lepas, jam 12.10 tengah hari semalam.
Muhammad Saifuddin Ali Subahan, 8, rentung selepas dipercayai terperangkap ketika bermain dalam kabin itu yang dijadikan tempat simpanan barangan lama dan alat sukan oleh penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba Bayan Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Muhammad Tarmizi Abdul Salam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari sebelum tiba sembilan minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, premis berkenaan sudah 80 peratus terbakar dan mendapat tahu ada seorang kanak-kanak terperangkap di dalamnya.
“Kebakaran berjaya dipadam jam 12.40 sebelum mayat mangsa yang terperangkap dan rentung berjaya dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian masih disiasat dan kabin itu tidak disambung dengan bekalan elektrik dan masih mengumpul keterangan daripada saksi sama ada kanakkanak berkenaan bermain api di situ.
Sementara itu, penduduk kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan Muhammad Saifuddin walaupun sudah berjaya memecahkan dinding belakang kabin itu.
“Kami sudah berjaya pecahkan dinding belakang, namun tak sangka dia (mangsa) terperangkap di dinding kiri kabin,” kata seorang penduduk yang tidak mahu dikenali.
Pecah dinding belakang kabin
Katanya, mereka memecahkan dinding belakang kabin namun tidak berjaya mengeluarkan mangsa kerana dia terperangkap di bahagian dalam tepi kabin berdindingkan papan lapis.
Bapa mangsa, Subahan Senni Santar Abdullah, 37, pula berkata pagi sebelum kejadian dia dan anaknya berada di rumah menonton televisyen.
Katanya, tidak lama selepas itu dia memberi wang RM2 kepada anaknya untuk dia keluar makan bersarapan bersama kawankawannya.
“Saya teringat lagi bagaimana reaksi Saifuddin yang begitu gembira ketika menerima wang itu sebelum keluar rumah.
“Tidak lama selepas itu saya mendapat berita daripada rakannya bahawa dia terbakar di dalam kabin tempat mereka sering bermain dan menganggapnya tidak serius,” katanya.
Subahan berkata, dia menyangka ia hanya luka kecil dan pergi ke lokasi kejadian yang terletak hanya bersebelahan dengan warung makan milik nenek mangsa.
Katanya, sebaik sampai, dia tidak menyangka api marak dengan kuat dan membakar keseluruhan bahagian dalam kabin dan menjerit memanggil namanya namun tidak bersahut.
“Ketika itu orang ramai mula menyimbah air cuba memadam kebakaran termasuk ada yang cuba memecahkan dinding kabin. Saya menjerit memanggil namanya namun tidak bersahut,” katanya.